Nasional

Operasi Vulture: 52 individu terlibat sindiket Ah Long ditahan

52 individu yang terlibat dengan sindiket pemberi pinjaman wang tanpa lesen atau Ah Long ditahan menerusi Operasi Vulture yang dilakukan pada 7 dan 23 September lalu di Johor, Pahang, Terengganu dan Kedah.

Kesemua yang ditahan ialah 46 lelaki dan 5 wanita tempatan serta seorang wanita warga Vietnam yang berusia lingkungan 15 hingga 58 tahun.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, siasatan mendapati kesemua yang ditahan adalah anggota sindiket kumpulan ‘Ah Han’, ‘Ah Sing’ dan ‘Jimmy’.

“Sindiket ini dikesan aktif menjalankan aktiviti pemberi pinjaman wang tanpa lesen dengan menyasarkan warga tempatan sebagai mangsa.

“Modus operandi sindiket ini adalah dengan mengiklankan tawaran pinjaman di aplikasi media sosial seperti ‘Facebook’, ‘WeChat dan ‘WhatsApp’ yang menyasarkan golongan peniaga, kakitangan kerajaan dan swasta.

“Kadar faedah pinjaman yang diberikan adalah 10% hingga 20% bagi tempoh seminggu,” katanya.

Menurut Mohd Kamarudin, apabila peminjam gagal menjelaskan bayaran balik pinjaman, mangsa
akan dihubungi melalui telefon sebelum diugut dan diancam seperti mengunjungi kediaman dan tempat kerja peminjam untuk melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan kekerasan jenayah ke atas harta benda milik peminjam.

Jelasnya, ahli sindiket juga akan berpakat untuk menghubungi peminjam yang gagal melunaskan bayaran pinjaman dengan menawarkan pinjaman baru bagi menyelesaikan bayaran pinjaman terdahulu.

“Ini bagi membolehkan ahli sindiket meneruskan kontak dengan peminjam untuk memaksa peminjam membuat bayaran berlipat kali ganda menerusi faedah yang dikenakan secara berterusan,” katanya.

Kesemua tangkapan disiasat di bawah Seksyen 5 (2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951
(Akta 400), Seksyen 29 B(1) akta sama, Seksyen 506 Kanun Keseksaan, Seksyen 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram Dan Pembiayaan Keganasan (AMLATPUAA 2001) dan Akta Pencegahan Jenayah 1959.

Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya membuat semakan dan pengesahan lesen berdaftar syarikat pinjaman wang berlesen dengan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui laman sesawang www.kpkt.gov.my. -SM

(Visited 137 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button