Nasional

Hubungan dua hala antara Malaysia dan Singapura terus dibincangkan secara konstruktif – Zambry

Datuk Seri Zambry Abdul Kadir yakin isu dua hala melibatkan Malaysia dan Singapura akan terus dibincangkan dalam konteks konstruktif.

Menteri Luar berkata, adalah sangat penting bagi kedua-dua negara mengadakan perbincangan atau rundingan yang boleh memberikan hasil yang baik “bukan untuk satu pihak tetapi untuk kedua-dua pihak”.

Zambry berkata demikian pada sesi “Meet and greet” lewat Ahad (29 Jan) malam selepas bertemu dengan rakan sejawatannya dari Singapura Dr Vivian Balakrishnan.

Beliau berada di Singapura sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke republik itu hari ini. Anwar dijangka tiba di Singapura sekitar jam 9.30 pagi Isnin (30 Jan).

Menurut Zambry, pertemuan antara beliau dan Balakrishnan adalah untuk membincangkan perkara berkaitan hubungan dua hala dan juga sebagai persediaan awal kedua-dua pemimpin itu mengadakan pertemuan pada Isnin.

“Kami juga membincangkan beberapa perkara berkaitan isu membabitkan kedua-dua negara yang memerlukan persefahaman bersama untuk kami selesaikan.

“Dari segi isu, tidak begitu banyak yang memerlukan langkah segera untuk kita selesaikan, tetapi ia melibatkan beberapa perkara penting untuk dilihat bersama dan membuat keputusan bersama,” katanya.

Antara isu berkaitan termasuk Penetapan Sempadan Maritim, Wilayah Maklumat Penerbangan, serta beberapa perkara lain dari segi persetujuan bersama yang telah dibuat setakat ini.

Menteri itu berkata Malaysia dan Singapura sentiasa mempunyai persamaan dan jangkaan yang sama untuk melihat rantau ini dalam keadaan ideal.

“Dalam erti kata lain, perbincangan atau rundingan ini perlu diteruskan dalam semangat hubungan baik kejiranan dengan niat yang baik dan keinginan yang tulus untuk kita menyelesaikan pelbagai isu.

“Supaya setiap perkara yang dibincangkan bukan hanya sebelah pihak sahaja, ia mesti boleh mencapai keputusan menang-menang dan itu mampu membawa hasil keputusan yang dibuat untuk kita maju ke hadapan dengan lebih baik. Di masa hadapan,” jelasnya.

Malaysia, katanya, berharap sebarang bentuk perbincangan atau rundingan yang dibuat pada masa hadapan tidak menjadi permainan sifar.

“Kami mahu mendapatkan keputusan yang benar-benar membina. Ini juga melibatkan perkara berkaitan sempadan laut yang mungkin menjadi isu serta perhatian di peringkat Malaysia,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada lawatan sehari hari ini, jadual padat menanti Anwar, yang juga dijangka mengadakan pertemuan secara bersemuka dengan rakan sejawatannya dari Singapura Lee Hsien Loong di Istana.

 

(Visited 104 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button