Uncategorized

Samun klinik gigi, dua suspek ditahan

SELEPAS empat jam menyamun sebuah klinik gigi di Taman Melati, Kuala Lumpur, polis telah menahan dua daripada empat suspek yang terlibat.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 6.30 petang semalam dan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kes samun itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, hasil siasatan telah menahan dua suspek yang terlibat kira-kira empat jam selepas kejadian itu berlaku.

“Siasatan mendapati, tiga orang suspek lelaki bersenjatakan parang telah masuk ke premis tersebut dan menyamar sebagai pelanggan.

“Suspek telah mengambil beberapa barangan berharga milik mangsa dan klinik sebelum melarikan diri serta mengakibatkan mangsa kerugian lebih kurang RM10,000,” katanya.

Menurut Ashari, kedua-dua suspek berusia 32 dan 30 tahun itu ditahan di sekitar Wangsa Maju.

Jelasnya, pihaknya turut merampas kereta dan sebilah parang yang disyaki digunakan dalam kejadian tersebut.

“Hasil semakan, kedua-dua suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah,” katanya.

Kedua-dua suspek kini ditahan reman selama enam hari dan kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

Tambahnya, usaha untuk mengesan dua lagi suspek sedang dilakukan dan orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222, Hotline Polis Kuala Lumpur (03-21159999) atau mana-mana balai polis berhampiran. -SM

(Visited 891 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button