Nasional

MMA gesa orang ramai bawa topeng muka elak jangkitan

Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menasihatkan rakyat Malaysia supaya tetap memakai topeng muka apabila mereka keluar dari rumah walaupun kerajaan telah menjadikan penggunaannya sebagai pilihan di kebanyakan tempat.

Presiden MMA Dr Koh Kar Chai berkata kini menjadi tanggungjawab rakyat untuk memakai topeng muka, apabila perlu, bagi mengekang penularan Covid-19 dan penyakit bawaan udara lain.

“Rakyat harus ingat bahawa masih terdapat jangkitan Covid-19 yang dilaporkan di sekeliling kita dan setiap daripada kita perlu bertanggungjawab dalam mengekang jangkitan itu.

“Walaupun terdapat banyak contoh di mana mandat topeng telah ditanggalkan, kita masih perlu berwaspada dan menyimpan topeng muka untuk digunakan apabila diperlukan.

“Saya percaya rakyat kita sudah cukup matang untuk memahami tanggungjawab sosial selepas mengalami lebih dua tahun wabak itu.


“Pemakaian topeng muka bukan sahaja untuk mencegah penularan Covid-19 tetapi juga berguna untuk mencegah penularan jangkitan bawaan udara yang lain.

“Kami kini menghadapi jumlah jangkitan Influenza yang tinggi dan penggunaan topeng muka yang bijak akan membantu dalam mengawal Influenza juga,” katanya dalam satu kenyataan.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin sebelum ini mengumumkan bahawa memakai topeng muka di dalam tempat tertutup akan dijadikan pilihan.

Khairy berkata pemilik premis juga boleh memutuskan sama ada pelanggan mereka dikehendaki memakai topeng muka atau menjadikannya pilihan untuk mereka.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa pemakaian topeng muka masih diwajibkan di semua kemudahan penjagaan kesihatan, seperti hospital, klinik dan rumah jagaan, dan berkata mereka yang berada dalam kumpulan berisiko tinggi terus memakai topeng itu.

 

 

(Visited 28 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button