Nasional

PBKD beri kelulusan bersyarat dos penggalak vaksin AstraZeneca, CoronaVac

Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) bersetuju memberikan kelulusan bersyarat bagi penggunaan vaksin AstraZeneca dan CoronaVac sebagai dos penggalak kepada individu berusia 18 tahun dan ke atas yang telah menerima vaksin “primary series” dari jenis yang sama.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, dos penggalak bagi vaksin AstraZeneca akan diberikan selepas sela masa enam bulan daripada penerimaan dos kedua vaksin tersebut.

Sementara bagi vaksin CoronaVac, dos penggalak akan diberikan selepas 3 hingga 6 bulan daripada dos kedua diterima.

Keputusan pemberian dos penggalak tersebut diluluskan dalam Mesyuarat Pihak Berkuasa Kawalan Dadah kali ke-366 yang telah bersidang pada hari ini.

“Pemberian dos penggalak bagi kedua-dua produk vaksin ini kepada kumpulan sasar tertentu akan diperincikan oleh Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Penggalak (CITF-B) dan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.


Sementara itu mesyuarat tersebut juga bersetuju memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi COVID-19 Vaccine AstraZeneca Solution for Injection bagi pengilang ketiga iaitu SK Bioscience Co., Ltd., South Korea.

Pemegang pendaftaran bagi vaksin ini adalah AstraZeneca Sdn. Bhd.

PBKD sebelum ini telah memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat bagi pengilang pertama iaitu AstraZeneca Nijmegen B.V., Netherlands manakala pengilang kedua adalah Siam Bioscience Co., Ltd., Thailand.

“KKM ingin memaklumkan bahawa kelulusan pendaftaran bersyarat ini memerlukan maklumat kualiti, keselamatan dan keberkesanan produk vaksin tersebut dipantau dan dinilai berdasarkan data-data terkini dari semasa ke semasa.

“Ia bagi memastikan perbandingan manfaat-risiko bagi vaksin tersebut kekal positif.

“KKM juga sentiasa komited dalam mempertingkatkan akses kepada produk vaksin COVID-19 di Malaysia dengan memastikan ia telah dinilai daripada aspek kualiti, keselamatan dan keberkesanan oleh NPRA dan diluluskan oleh PBKD,” katanya.-SM

(Visited 28 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button