NasionalParlimen

JENDELA Fasa 1 fokus pada peluasan gentian optik

PELAKSANAAN pelan JENDELA Fasa 1 yang bermula pada September 2020 memberi fokus kepada peluasan liputan gentian optik dan pembangunan infrastruktur digital.

Ia merangkumi pembinaan tapak 4G baharu dan menaiktaraf stesen pemancar sedia ada kepada 4G bagi meningkatkan liputan serta kualiti perkhidmatan 4G di seluruh negara.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa berkata, pencapaian perkhidmatan berkenaan sehingga 30 September 2021 adalah seperti berikut:

Penambahan sebanyak 1.48 juta premis daripada 4.95 juta premis yang menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 6.43 juta premis di seluruh negara telah disediakan dengan akses gentian optik;

Kelajuan jalur lebar mudah alih meningkat daripada 25 Mbps kepada 31.34 Mbps; dan


Peluasan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8% kepada 94.39% di kawasan berpenduduk.

Beliau berkata demikian di Dewan Rakyat hari ini pada sesi ucapan penggulungan, perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2022.

Beliau juga berkata, mengenai status penganugerahan tender-tender di bawah Program JENDELA, SKMM telah menyerahkan Surat Pelantikan Pemberi Perkhidmatan Sejagat dan Surat Niat bagi program JENDELA Fasa 1 kepada pemegang-pemegang lesen yang berkenaan pada 27 Oktober 2021.

“Kerja-kerja pembinaan menara-menara yang terlibat sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap secara berperingkat bermula pada suku keempat tahun 2022.

“Kepantasan serta kemampuan pelaksanaan menara-menara ini juga bergantung kepada kelulusan yang dikeluarkan pihak tertentu seperti Pihak Berkuasa Negeri (PBN) dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” ujar beliau.

Katanya lagi, SKMM akan bekerjasama rapat dengan pihak berkepentingan di peringkat negeri bagi mempermudahkan urusan pelaksanaan dan pembinaan menara-menara tersebut.

Seterusnya bagi menjawab pertanyaan yang dibangkitkan oleh YB Tenom mengenai status pembinaan menara baharu di daerah tenom, Annuar memberi pencerahan seperti berikut:

“Sehingga kini sebanyak 23 menara yang telah siap dinaik taraf manakala baki sebanyak 43 sedang dalam perancangan untuk dinaiktarafkan.

“Untuk kawasan-kawasan yang diminta untuk dinyatakan, saya mohon untuk beri penjelasan secara bertulis” katanya.

Pada sesi di Dewan Rakyat, Pakej Remaja Keluarga Malaysia turut disentuh oleh Annuar seperti berikut:

Pakej prabayar khusus untuk golongan remaja dan pelajar termasuk pelajar pascasiswazah.

Harga pakej boleh didapati dengan hanya RM10/sebulan (Dibayar untuk 3 bulan/RM30).

Layak mendapat data 20GB untuk tiga (3) bulan. Dengan itu, tidak perlu lagi untuk membuat penambahan nilai setiap bulan.

Data 1GB (Jumlah 90GB) diberikan percuma setiap hari selama tiga (3) bulan. Semuanya berjumlah 90GB.

Remaja dan pelajar di bawah umur 21 tahun hanya perlu mendaftar dengan MyKad sementara pelajar melebihi 21 tahun perlu mendaftar dengan kad pelajar, katanya.

Pihak penyedia perkhidmatan yang terlibat di dalam inisiatif ini adalah Celcom Axiata Berhad (Celcom), Digi Telecommunications Sdn Bhd (Digi), Maxis Berhad (Maxis), U Mobile Sdn Bhd (U Mobile), Telekom Malaysia Berhad (Telekom) dan YTL Communications Sdn Bhd (YES). – SM

 

(Visited 32 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button