BeritaPendidikan

UniMAP fokus kepada pemupukan bakat cemerlang

Salah satu komponen penting dalam ekosistem sesebuah universiti ialah ‘Bakat’. Oleh itu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) telah mewujudkan dalam ‘Teras Kecemerlangan Bakat UniMAP 2025’, untuk memberi fokus kepada pemupukan bakat cemerlang yang akan memacu hala tuju universiti tersebut.

‘Bakat di universiti tergolong dalam dua kumpulan besar iaitu, pertama ialah kumpulan staf akademik, dan keduanya ialah kumpulan staf bukan akademik yang terdiri daripada dua kumpulan. Kesemua kumpulan ini saling melengkapi antara satu dengan yang lain, dan kecemerlangan sesebuah universiti amat bergantung kepada hubungan sinergistik antara kesemua pihak tersebut.

Justeru, antara inisiatif yang akan diberi tumpuan oleh UniMAP ialah melaksanakan latihan dalam Kerangka Kecekapan bagi staf Pengurusan dan Profesional yakni Pentadbir dan Akademik, dan pada masa yang sama melaksanakan kursus dan latihan berteraskan kompetensi dalam kepelbagaian tugas yang ditetapkan.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan singgah meninjau perkembangan terkini Dewan Konvokesyen UniMAP yang sedang dibina di kampus induknya di Pauh Putra baru-baru ini.


Menurut baginda yang juga merangkap Tuanku Canselor universiti berkenaan, salah satu hasrat penstrukturan semula yang dilaksanakan oleh pihak kepimpinan UniMAP ialah untuk memastikan bahawa pemegang jawatan utama di sesetengah Pusat Tanggungjawab universiti tidak hanya terhad kepada staf akademik sahaja.

‘Bahkan, jika ada staf bukan akademik yang mempunyai kompetensi yang berkaitan, maka keutamaan akan diberikan kepada staf tersebut. Hal ini juga diharap akan mampu menyumbang kepada pemerkasaan staf akademik agar mereka boleh memberi tumpuan kepada pemantapan akademik, pengajaran dan pembelajaran serta penyelidikan. Maka, untuk mencapai hasrat tersebut, latihan dan pendedahan kepada amalan baik iaitu ‘good practices’ di organisasi lain amat penting’ jelas Tuanku Syed Faizuddin Putra.

(Visited 75 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button