Nasional

Mini KUD @Lipis bantu perkasa usahawan luar bandar

PENGANJURAN Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) dilihat sebagai salah satu usaha hebat Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dalam membantu usahawan luar bandar untuk mengembangkan lagi perniagaan yang dijalankan.

Timbalan Menteri 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, program Mini KUD ini antara inisiatif pihak kementerian dalam melahirkan usahawan luar bandar yang lebih efisyen menguruskan perniagaan menerusi bimbingan dan kursus-kursus yang dilaksanakan di bawah KPLB.

Beliau berkata, selain itu, program tersebut juga akan meningkatkan lagi daya saing dan kebolehpasaran produk luar bandar dalam meneroka peluang pasaran baharu yang lebih besar.

Ia juga menjadi  medium mewujudkan akses pasaran produk serta perkhidmatan usahawan luar bandar kepada pemborong, pengedar dan pembeli, katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau aktiviti gerai jualan usahawan dan pameran agensi di Mini KUD @ Lipis.

Program yang bermula hari ini sehingga 3 Julai 2022 di Dataran Orang Kaya Haji, Lipis, Pahang turut disertai enam agensi di bawah KPLB.

Agensi-agensi tersebut ialah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Felcra Berhad, Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas), Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa), Perbadanan Kemajuan Pertanian Negeri Pahang (PKPP) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).

Untuk makluman, program empat hari ini turut mendapat sokongan dan kerjasama Majlis Daerah Lipis (MDL) khususnya dalam penyediaan tapak dan penglibatan perancangan dan pelaksanaan aktiviti pengisian Program Mini KUD @ Lipis.

Sementara itu, program di Lipis menyasarkan 5,000 pengunjung setiap hari dengan nilai  jualan tunai lebih RM200,000  sepanjang empat hari penganjurannya.

Sebanyak 130 usahawan dari pelbagai agensi di bawah KPLB dan usahawan tempatan di bawah kelolaan Majlis Daerah Lipis menyertai program ini.

Penyertaan adalah dari kategori makanan dan minuman, pakaian wanita, lelaki dan kanak-kanak,  kecantikan dan kesihatan, kraftangan, produk pertanian, penjaja kecil makanan dan minuman serta Food Truck.

Abdul Rahman juga berkata, penganjuran Mini KUD @ Lipis  turut menampilkan Rural Business Challenge (RBC) Bistro yang disertai oleh pemenang RBC sekitar negeri Pahang. – SM

(Visited 278 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button