Nasional

‘Himpunan hentikan aniaya Najib’ Ahad ini

SATU program ‘Himpunan Hentikan Penganiayaan terhadap Datuk Seri Najib Razak’ bakal diadakan di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) Kuala Lumpur pada pukul 10 pagi, kata Pengerusi Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM), Syed Muhammad Imran SN Syed Abdul Aziz.

Beliau berkata, program himpunan itu bertujuan menzahirkan luahan hati perkembangan berkaitan Najib yang dirasakan telah dianiaya, dizalimi, ditindas, dikasari, dikejami serta dinafikan hak dan keadilan.

“Antaranya, penyalahgunaan kuasa oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan bukti yang boleh membebaskan Najib daripada semua pertuduhan mahkamah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, program himpunan itu juga membangkitkan perasaan kebimbangan semasa rakyat mengenai kenaikan harga makanan, pengangguran yang semakin teruk dan isu pengeluaran simpanan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pencarum untuk kegunaan pasca Covid-19 dan bencana banjir.

Katanya, getusan rasa hilang pekerjaan dan perniagaan, pengurusan masalah pasca banjir, suara-suara rayuan dan rintihan rakyat juga diketengahkan pada program himpunan itu nanti.


“Untuk benar-benar merasai denyut nadi dan luahan hati nurani rakyat yang kini sentiasa peka mengikuti perkembangan terkini, trend dan isu termasuk berkaitan mantan Perdana Menteri, Najib, hadirlah beramai-ramai pada 23 Januari ini,” katanya.

Untuk rekod, Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia (PSUAM) sebelum ini telah membuat laporan mengenai salah guna kuasa oleh pihak SPRM sendiri di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya dan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi Kuala Lumpur.

Katanya, laporan yang dibuat oleh PSUAM mengenai SPRM menyalahgunakan kuasa menyembunyikan bukti-bukti baharu iaitu ‘Laporan AMBANK’ yang telah mengaitkan ‘nama-nama besar’ antaranya bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Aziz dan suami, Datuk Tawfiq Ayman yang boleh membebaskan Najib dari kesemua tuduhan kes-kes mahkamah.

“Pihak SPRM mengesahkan pada awal bulan ini telah membuka satu kertas siasatan berkaitan laporan yang kami buat.

“Namun kami terkejut apabila mendapati pihak Polis DiRaja Malaysia (PDRM) tidak membuka sebarang kertas siasatan sebaliknya hanya akan merujuk kepada SPRM, “ kata Syed Muhammd Imran.

Pada 19 November 2021, negara dikejutkan oleh kenyataan rasmi SPRM bahawa wang berkaitan 1MDB berjumlah RM65 juta dalam akaun bank Datuk Tawfik Ayman yang merupakan suami Tan Sri Zeti Aziz telah dikembalikan oleh kerajaan Singapura.

Begitu juga pemulangan wang milik bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SRC International Sdn Bhd (SRC), Nik Faisal Ariff Kamil berjumlah RM3.6 juta.

Pihak PDRM juga masih belum mengumumkan keputusan hasil siasatan terhadap penerimaan wang oleh Datuk Tawfik Ayman, suami Tan Sri Zeti Aziz mantan Gabenor Bank Negara daripada individu bernama Jho Low.

Tan Sri Tommy pula pernah mengesahkan beliau tidak sempat mengambil tindakan terhadap Tan Sri Zeti atau suaminya dengan alasan pihak SPRM belum selesaikan siasatan ketika itu.

“Pihak SPRM baru sahaja memulakan siasatan terhadap dokumen 14 muka surat yang telah dilampirkan dalam artikel portal Malaysia Today pada 5 Disember 2021.

“Dokumen ini dikatakan adalah laporan hasil siasatan SPRM berkenaan 1MDB, Ambank, Tan Sri Zeti Aziz dan Tan Sri Nor Mohd Yakcop,” jelas Syed Muhammd Imran.

Katanya, “Kita sedia maklum bahawa Tan Sri Zeti Aziz yang menasihatkan Datuk Seri Najib Razak untuk membuka akaun atas nama peribadi beliau bagi menerima sumbangan dana dan juga telah diarahkan oleh Datuk Seri Najib Razak untuk memantau sebarang kemasukan dana dalam akaun bank tersebut.”

“Di sini didapati Tan Sri Zeti Aziz telah menggunakan kedudukan dan melakukan kesalahan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” dakwa Syed Muhammd Imran dalam kenyataan yang sama.

Manakala Tan Sri Nor Mohd Yakcop selaku Menteri Ekonomi pada ketika itu yang mengesyorkan penubuhan SRC serta membentangkan kertas Kabinet untuk meluluskan jaminan kerajaan supaya syarikat SRC boleh meminjam dana sebanyak RM4 bilion dari KWAP, kata Syed Muhammd Imran .

“Sehubungan itu, beliau juga telah menggunakan kedudukan dan melakukan kesalahan salah guna kuasa di bawah Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya.

Syed Muhammd Imran berkata, pendedahan-pendedahan ini semua jelas menunjukkan bahawa Pejabat Peguam Negara, pihak pendakwaan dan agensi-agensi siasatan utama negara telah mengetahui salah laku Tan Sri Zeti Aziz dan Tan Sri Nor Mohd Yakcop sejak tahun 2019.

“Maka Persatuan Sahabat Ulul Amri Malaysia akan terus bertindak mengikut saluran undang-undang yang boleh dan dirasakan perlu agar pihak-pihak berkuasa boleh menyiasat jika wujud sebarang usaha oleh pihak-pihak tertentu dalam kerajaan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dahulu untuk menyembunyikan salah laku kedua-dua tokoh ‘bernama besar’ di atas supaya ia tidak dapat digunakan oleh Najib Razak bagi tujuan pembelaan kes Mahkamah beliau,” kata Syed Muhammd Imran. – SM

(Visited 946 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button