Politik

Kerajaan PN yang rapuh

WALAUPUN berjaya membuktikan di Parlimen kerajaan Perikatan Nasional (PN) mempunyai majoriti dalam usul menukarkan Yang Dipertua Dewan Rakyat, tetapi ia sangat tipis.

PN diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin berjaya menggugurkan Mohamad Ariff Md Yusof hanya dengan kelebihan satu undi.

Seramai 111 daripada 222 anggota parlimen mengundi menerima usul  Muhyiddin manakala 109 anggota parlimen menolaknya.

Timbalan Speaker Rashid Hasnon yang juga anggota parlimen Batu Pahat tidak mengundi kerana mempengerusikan sidang itu.

Maximus Johnity Ongkili (PN-Kota Marudu) tidak hadir dengan sijil cuti sakit.

Tidak cukup itu persidangan berjalan dalam keadaan kecoh hampir tidak terkawal.

Keadaan itu jelas dilihat dengan majoriti yang sangat kecil kerajaan yang ada sukar untuk mentadbir negara.

Ini juga sekali gus memberi isyarat yang tidak baik kepada pelabur asing kerana kerajaan boleh berubah pada bila-bila masa jika undi tidak percaya diadakan.

Oleh itu jalan penyelesaian ialah Muhyiddin mengadakan pilihan raya umum bagi mendapatkan mandat segar daripada rakyat, daripada terus dicop sebagai kerajaan pintu belakang.

Jika pilihan raya umum diadakan Muhyiddin perlu lebih bertolak ansur soal pembahagian kerusi kerana ternyata sebelum ini Muafakat Nasional (MN) telah berjaya mencapai kejayaan.

Langkah terbaik adalah parti pimpinan Muhyiddin iaitu Bersatu menyertai MN dan membentuk kerajaan yang baharu.

Bermakna PN adalah kerajaan sementara untuk membolehkan pilihan raya umum diadakan bagi mendapatkan sokongan yang sepenuhnya daripada rakyat.

Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga perlu tegas dalam hal ini kerana ia memang menjadi kehendak ahli di peringkat akar umbi untuk melihat MN menyatukan kembali politik orang Melayu dan Islam yang berpecah belah.

Kelebihan kini berada di tangan kerajaan kerana kejayaan menangani pandemik Covid-19 dan pada masa yang sama menyantuni ekonomi negara yang terkesan secara global kerana perkara yang sama.

Mood rakyat kini juga positif terhadap kerajaan hari ini dan pada masa yang sama pembangkang sendiri dalam keadaan kucar-kacir.

Mereka kehilangan arah dalam hal yang paling utama iaitu untuk melantik calon perdana menteri.

Lebih molek lagi jika pilihan umum diadakan serentak dengan pilihan raya negeri Sarawak.

Apa yang ada hari ini belum boleh diraikan kerana ia hampir kepada fatamorgana dan ibarat Burung Terbang Dipipiskan Lada. – SM

 

 

(Visited 254 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button