fbpx
ParlimenPolitik

Belanjawan 2021: Jangan salah faham titah Agong – Khalid

TITAH Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah berkenaan sokongan terhadap Belanjawan 2021 perlu difahami maksud sebenarnya.

Menerusi gesaan Agong terhadap sokongan kepada Rang Undang-Undang Perbekalan itu, baginda dikata memaksudkan belanjawan yang dibentang mestilah bersifat inklusif.

Bermakna, belanjawan tersebut meliputi seluruh lapisan masyarakat yang keseluruhannya terjejas akibat wabak pandemik Koronavirus (Covid-19) sehingga ia tidak boleh dipertikai mana-mana pihak.

Malah, kerajaan juga dianggap melanggar titah Agong sekiranya gagal menyediakan belanjawan seperti diharapkan rakyat.

“Ini merupakan bajet yang julung kalinya apabila Agong mengeluarkan titah untuk meminta supaya bajet ini disokong.


“Ramai apabila membaca titah Agong, tersilap faham dan menganggap bahawa titah itu ditujukan khusus kepada pihak pembangkang bahawa pembangkang kena menyokong bajet ini walau apa sekali pun yang terkandung.

“Saya melihat ia adalah titah yang ditujukan kepada pembangkang dan juga kerajaan, oleh kerana soal meluluskan bajet ini adalah satu perkara yang amat penting penting yang mana akan memberikan implikasi buruk sekiranya ditolak.

“Maka, kerajaan berkewajiban untuk mengusahakan satu bajet yang adil, saksama, bertanggungjawab, inklusif, mendatangkan perpaduan dan kebaikan kepada seluruh masyarakat.

“Dan tangungjawab itu kerajaan mesti melakukannya dan memenuhinya dengan sebaik yang mungkin. Sekiranya tidak, bererti kerajaan telah gagal dan meningkari titah Agong.”

Ucapan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad yang membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini.

Dakwa Khalid, Belanjawan 2021 yang dikatakan mendapat kritikan ramai pihak ini asalnya dirangka tanpa perlu mendapatkan kelulusan dalam Dewan Rakyat.

Sebaliknya, bajet tersebut akan diluluskan begitu sahaja sekiranya Perintah Darurat diperkenan oleh Agong untuk dilaksanakan.

Tambah beliau, Belanjawan 2021 itu banyak kekurangan sehingga memaksa ia perlu diluluskan oleh semua Ahli Parlimen menerusi keyakinan daripada Agong.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan persoalan kestabilan kerajaan berikutan usul terhadap undi tidak percaya kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak dibentangkan.

“Masalah ekonomi tidak akan selesai jika kerajaan masih berada dalam keadaan terumbang-ambing bagaikan ‘telur dihujung tanduk’. Persoalan sokongan majoriti masih hendak dielak.

“Apa masalah dengan meletakkan usul undi tidak percaya kalau benar-benar ada sokongan majoriti.

“Apabila mengelak persoalan ini, maka pelabur manakah yang akan melabur dalam negara yang mana Perdana Menterinya sendiri tidak berani untuk menghadapi undi tak percaya dalam Dewan Rakyat.

“Walaupun ini dikatakan persoalan politik, tetapi hanya yang kurang bijak, dapat memisahkan persoalan politik dan ekonomi.

“Penyelesaian yang tuntas terhadap kestabilan kepimpinan negara ialah dengan adanya seorang Perdana Menteri yang berani hadir di Dewan Rakyat dan menghadapi usul undi tak percaya.

“Apa yang telah dihasilkan daripada belanjawan ini, tidak memenuhi keperluan dan kehendak suasana yang wujud,” ujarnya.

Khalid turut menegaskan, pihak pembangkang tidak akan teragak-agak untuk menolak Belanjawan 2021 sekiranya tiada perubahan dibuat termasuk dalam memenuhi keperluan dan kehendak rakyat. – SM

(Visited 2 times, 1 visits today)

Show More

Mohamad Athir Ismail

Berpengalaman lapan tahun dalam bidang kewartawanan termasuk penerbitan majalah, surat khabar dan portal berita. Sebelum menyertai Suara Merdeka, beliau pernah berhidmat di pelbagai syarikat penerbitan. Berminat meneroka bidang kewartawanan untuk perniagaan.

Related Articles

Back to top button