Politik

PM kemuka tujuh cadangan persefahaman rentas parti

Kerajaan Parikatan Nasional mencapai satu kata sepakat untuk berunding dengan pimpinan parti-parti di luar PN untuk meluluskan usul undi percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat.

Ia bagi membolehkan kerajaan yang ada pada hari ini terus berfungsi mengurus pandemik Covid-19 hingga tiba suatu masa yang sesuai untuk diadakan pilihanraya bagi mengembalikan semula mandat kepada rakyat.

Serentak itu Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin membentangkan tujuh cadangan rangka persefahaman rentas parti yang akan dilaksanakan oleh kerajaan sekiranya usul undi percaya diluluskan.

“Kerajaan yang akan wujud selepas usul undi percaya ini diluluskan adalah sebuah kerajaan yang lebih stabil dan inklusif.

“Stabil dengan dokongan bipartisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, serta inklusif dengan pengiktirafan kepada parti-parti pembangkang untuk memainkan peranan semak dan imbang yang lebih efektif dan menyeluruh.

“Kestabilan politik adalah amat penting dalam kita memerangi pandemik. Covid-19 dan memulihkan negara,” katanya.

Tujuh cadangan itu:

1. Atas semangat kerjasama bi-partisan di Parlimen dan keperluan untuk memperluaskan bentuk-bentuk bantuan kepada rakyat dalam situasi pandemik, semua Ahli Parlimen akan menerima peruntukan tahunan yang sama tanpa mengira parti politik. Bagi Ahli Parlimen pembangkang, peruntukan untuk tahun ini akan dibuat secara prorata mengikut jumlah bulan yang berbaki.

2. Bagi mendokong prinsip “Whole of Government” dan “Whole of Society” dalam memerangi pandemik COVID-19 , Menteri Kewangan telah mengadakan libat urus dengan pelbagai pihak termasuk pimpinan parti pembangkang untuk mendapatkan input dan cadangan bagi menambahbaik Pelan Pemulihan Negara.

3.Sekiranya Kerajaan berjaya mendapatkan sokongan bi-partisan di Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang melebihi majoriti dua pertiga, suatu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan untuk menghadkan tempoh
jawatan Perdana Menteri kepada dua penggal sahaja dan Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti akan dibentangkan di Parlimen.

4. Kerajaan juga akan memperkukuhkan reformasi parlimen dengan memastikan jumlah Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang yang menganggotai Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen adalah lebih seimbang.

Sebagai pengiktirafan kepada peranan semak dan imbang di Parlimen, 50 peratus Jawatankuasa Pilihan Khas akan dipengerusikan oleh Ahli Parlimen Kerajaan dan 50 peratus lagi oleh Ahli Parlimen pembangkang.

Sejajar dengan jangkaan bebanan tugas yang akan bertambah dalam melaksanakan fungsi semak dan imbang yang lebih efektif, Kerajaan akan menyediakan kakitangan sokongan dan saraan yang berpatutan kepada semua Pengerusi Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen.

5. Kerajaan telah bersetuju untuk melaksanakan Undi 18 tanpa menunggu pelaksanaan pendaftaran automatik yang akan mengambil masa. Untuk itu, satu Rang Undang-Undang Pindaan Perlembagaan akan dibentangkan di Parlimen untuk tujuan ini. Saya berharap, dengan adanya kerjasama bi-partisan di Parlimen, rang undang-undang ini akan dapat diluluskan.

6. Rang undang-undang termasuk rang undang-undang perbekalan yang akan dibentangkan di Parlimen akan dirundingi terlebih dahulu dengan semua Ahli Parlimen. Suatu rang undang-undang hanya akan dibentangkan
sekiranya mendapat sokongan majoriti Ahli Parlimen.

7. Sebagai pengiktirafan kepada peranan parti pembangkang yang mempunyai jumlah perwakilan yang hampir seimbang di Dewan Rakyat, Ketua Pembangkang akan diberikan saraan dan kemudahan yang setara dengan seorang Menteri Kanan.-SM

 

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button