fbpx
Nasional

Waspada, jangan sampai cetus kluster Aidiladha

UMAT Islam khususnya di negara ini dinasihatkan supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial ketika menyambut perayaan Aidiladha.

Begitu juga dengan pematuhan terhadap SOP ibadah korban yang ditetapkan oleh kerajaan.

Hal demikian dikhuatiri akan mencetuskan kluster baharu berkaitan Aidiladha berikutan kealpaan masyarakat dalam memastikan penjarakan sosial.

Ini termasuklah pelaksanaan ibadah korban yang dihadkan kepada masjid dan surau tertentu supaya pandemik Koronavirus (Covid-19) tidak terus menular.

“Kita telah mengeluarkan SOP lengkap ibadah korban yang dimuktamadkan.


BACA > Musa tidak dibenarkan lalu ke Istana Negeri — Suara Merdeka

“Peraturan yang terperinci itu boleh dilihat melalui laman web, Facebook dan Instagram kementerian.

“Isu ibadah korban ini merupakan satu isu yang menarik untuk dilihat oleh semua pihak khususnya yang beragama Islam.

“Oleh itu, jaga perkara ini (patuhi SOP). Kita tidak mahu ada kluster berkaitan ibadah berlaku lagi.”

Demikian nasihat Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al Bakri dipetik laporan portal MalaysiaGazette hari ini.

Beliau dilaporkan berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan program Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) Peduli: Cuci Cuci dan Musa’adah Pasca Covid-19 Terengganu di Kolej Universiti Darul Quran Islamiyyah, Kubang Lembik.

Berbanding Aidilfitri pada Jun lalu, rakyat Malaysia kini dibenarkan untuk merentas negeri pulang ke kampung bagi menyambut perayaan Aidiladha.

BACA > Asnaf ceria rumah daif dapat perhatian MAIPs — Suara Merdeka

Pulang ke kampung dibenarkan susulan Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yakob memaklumkan rentas negeri adalah dibenarkan.

Beliau berkata demikian dalam taklimat perkembangan Covid-19 dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) baru-baru ini.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah, memberi amaran PKP perlu dilaksanakan sekiranya jangkitan Covid-19 menunjukkan peningkatan mendadak.

Beliau berkata demikian susulan, catatan dua angka dalam jangkitan pandemik itu sejak beberapa hari ini susulan kembalinya rakyat Malaysia dari luar negara.

Ia termasuklah mereka yang masih berdegil enggan menjalani kuarantin sendiri di rumah walaupun diarahkan berbuat demikian kerana dikhuatiri pembawa virus Covid-19.

BACA > 13 jemaah tabligh tiba di tanah air, 74 lagi masih di India — Suara Merdeka

Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak jika pelaksanaan PKP dicadangkan apabila wujud jangkitan dalam kalangan mereka yang hadir ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, Selasa lalu.

Terkini, jumlah jangkitan Covid-19 dimaklumkan sebanyak lapan kes baharu melibatkan tiga import dan lima jangkitan tempatan. – SM

Show More

Mohamad Athir Ismail

Penulis merupakan antara wartawan Utusan Malaysia dan Utusan Online yang terakhir berkhidmat sebelum Utusan Melayu (M) Berhad ditutup.

Related Articles

Back to top button