Politik

Lima UMNO Bahagian Melaka sokong dua jawatan utama tidak dipertandingkan

Lima daripada enam UMNO Bahagian di Melaka hari ini menyatakan pendirian menyokong agar jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan pada pemilihan parti yang akan diadakan
sebelum 19 Mei depan.

Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad yang mewakili lima ketua bahagian di Melaka berkata, pendirian tersebut tidak sama sekali menyekat amalan demokrasi dalam parti
itu.

Menurutnya, demokrasi tidak boleh dilihat dari sudut pertandingan semata-mata tetapi pendirian suara akar umbi termasuk ketua-ketua bahagian parti seluruh negara adalah mewakili suara demokrasi.

“Jika suara perwakilan seluruh negara dan ketua-ketua bahagian mencadangkan agar dua jawatan utama parti tidak dipertandingkan itu sudah menggambarkan suara demokrasi.

“Kami fikir itu adalah suara majoriti demokrasi yang perlu didengar oleh pucuk pimpinan parti dalam konteks UMNO sebagai sebuah parti yang demokrasi.


“Apa yang dinyatakan menerusi pendirian 140 bahagian semalam menyokong agar dua jawatan parti tidak dipertandingkan itu juga sudah menggambarkan suara demokrasi dalam parti.

“Kita tidak mahu pertandingan itu diadakan kerana dibimbangi berlaku keretakan lebih teruk selepas UMNO dan Barisan Nasional (BN) tewas pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15),” ujarnya dalam sidang akhbar di Sri Hartamas di sini hari ini.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman, Ketua UMNO Bahagian Jasin, Datuk Hasan Rahman, Pemangku Ketua UMNO Bahagian Alor Gajah, Datuk Rospandi Leman dan Ketua UMNO Bahagian Hang Tuah Jaya, Datuk Mohd. Ridhwan Ali.

Mengulas lanjut Mohamad Ali berkata, pendirian lima ketua bahagian itu dibuat berdasarkan pengorbanan dan jiwa besar yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yang sanggup berdepan pelbagai kemelut sejak kekalahan BN pada PRU14.

“Presiden parti tidak tunduk dengan desakan untuk membubarkan UMNO walaupun didesak dengan pelbagai ugutan oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selain beliau berdepan pendakwaan politik tetapi berprinsip mempertahankan parti,” ujarnya.

Jelasnya, UMNO memerlukan seorang Presiden yang berpendirian bijak dalam mengatur strategi demi survival parti agar terus relevan di negara ini.

Beliau berkata, walaupun pada PRU15, BN sekadar mendapat 30 kerusi di Dewan Rakyat tetapi hasil kebijaksanaan Ahmad Zahid dalam mengatur strategi akhirnya UMNO berada dalam kerajaan perpaduan dan membolehkan parti terus berbakti kepada rakyat. – SM

(Visited 407 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button