Politik

Mat Sabu, Pakatan Harapan patut salahkan diri sendiri

KOMENTAR

SEBELUM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14), 9 Mei 2018, kesemua ahli Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) bersetuju secara konsensus untuk mengangkat Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-7.

Mereka juga menyetujui Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menggantikan Dr Mahathir selagi perjanjian itu dihormati.

Dr. Mahathir akur. Beliau sentiasa menjawab dengan tegas akan melepaskan jawatan kepada Anwar. Peralihan itu ditetapkan selepas APEC November tahun ini (2020).

Malangnya, penyokong kuat Anwar antaranya Ramkarpal, Ramasamy, Johari Abdul, Ronnie Liu, Abdullah Sani, Akmal Nasir, Rafizi Ramli, Syukri Razab, Syed Husin dan banyak lagi tidak habis-habis mempersoalkan kedudukan Dr. Mahathir sebagai Perdana Menteri.

Pakatan Harapan

Sejak tahun lepas 2019 lagi mereka mempersoalkan kedudukan Dr. Mahathir dan membelakangkan konsensus.

Jadi, bagaimana Dr. Mahathir mahu mentadbir negara jika setiap hari diasak, didesak, ditekan dan diserang oleh mereka yang dianggap sebagai sekutu Anwar?

Dan kemuncaknya pada 21 Februari lalu bagaimana negarawan itu didesak berulang kali oleh sekutunya sendiri dari DAP dan Parti Amanah dalam mesyuarat Majlis Presiden PH supaya menetapkan tarikh bagi menyerahkan kuasa kepada Anwar. Perkara didedahkan sebuah portal berita.

Portal itu turut memetik kata-kata Presiden Amanah, Mohamad Sabu (Mat Sabu) dalam mesyuarat yang dikatakan tegang itu bahawa dia tidak berasa gentar dengan amaran dari pemimpin Bersatu yang berkata mereka akan keluar PH.

Kata presiden itu: “… kami tak ada masalah, puluh tahun dah kami jadi pembangkang dan disambut dan disokong padu wakil DAP,” menurut sumber kepada portal berkenaan.

Bagaimanapun pegawai Mat Sabu menafikan terjadinya insiden berkenaan.

Tiga hari kemudian iaitu 24 Februari, Pejabat Perdana Menteri (PMO) mengesahkan Dr Mahathir telah menghantar surat peletakan jawatan perdana menteri.

Jadi, siapa Mat Sabu yang hari ini mahu ahli parti itu giat memperingatkan rakyat bahawa kerajaan yang ada sekarang bukan diperoleh melalui mandat rakyat tetapi melalui `pintu belakang’?

Kalau diikutkan, parti yang harus membangkitkan isu `kerajaan pintu belakang’ ini ialah tak lain, tak bukan adalah UMNO.

UMNO lah yang menjadi `mangsa’nya, bukan PH.

Kerajaan sekarang yang dikenali Perikatan Nasional diterajui Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin terdiri daripada perwakilan UMNO, Pas, MCA dan MIC serta sebahagian Bersatu, bukanlah daripada parti-parti yang menang. Tetapi calon-calon mereka menang melebihi 50 kerusi dalam PRU lepas.

Apa yang dibentuk oleh Muhyiddin ialah Kerajaan Campuran (Coalition Government).

Bahkan, semasa pimpinan Dr Mahathir selaku Perdana Menteri dan Pengerusi Bersatu pun terdapat 14 wakil rakyat UMNO yang lompat pagar UMNO. Bukankah itu pun dikatakan “gerbang belakang atau pintu belakang”?

Lihatlah bagaimana peritnya UMNO setelah BN yang diketuainya semasa PRU-14 memenangi 79 kerusi Parlimen, tiba-tiba hanya berbaki 41 kerusi selepas beberapa wakil rakyatnya meninggalkan parti dan menyertai parti lain.

Sehari selepas Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menang jawatan presiden UMNO pada Jun 2018, Ahli Parlimen Masjid Tanah keluar UMNO. Ia diikuti wakil Jeli, Kimanis dan Labuan.

Disember 2018 menyaksikan 11 anggota parlimen – lima dari Sabah – keluar UMNO kerana tidak puas hati terhadap kepimpinan parti itu.

Pada Februari 2019, Bersatu menerima ahli-ahli parlimen Larut, Tasek Gelugor, Tanah Merah, Mersing dan Sabak Bernam serta Hulu Terengganu sebagai ahli parti.

Pada Mac 2019, wakil rakyat UMNO dari Beaufort, Beluran, Kudat dan Libaran juga menyertai Bersatu.

Wakil Sipitang menyertai Bersatu pada September 2019.

Pada Jun 2018, empat parti komponen BN di Sarawak- Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Sarawak United Peoples’ Party (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) and the Progressive Democratic Party (PDP)- menarik diri daripada BN setelah bersama sejak 1974.

Di Sabah juga menyaksikan parti-parti komponen BN – Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) dan United Pasokmomogun Kadazandusun Murut Organisation (Upko) – meninggalkan gabungan itu.

PBS dan PBRS berganding bahu dengan Parti Solidariti Tanah Airku Rakyat Sabah (Star) bagi menubuhkan gabungan pembangkang yang dikenali sebagai Gabungan Bersatu Sabah (GBS). Secara keseluruhannya, GBS ada tiga anggota parlimen.

Upko yang mempunyai satu kerusi parlimen, bekerjasama dengan Warisan.

Sementara BN lumpuh di Sarawak, di Sabah pula UMNO masih mempunyai seorang anggota parlimen dari Kinabatangan.

Begitulah azab yang ditanggung UMNO. Dan bayangkan kalaulah PH masih `hidup’ sekarang. Bersama sekutunya Warisan and Upko, gabungan itu mempunyai 139 jumlah kerusi di Dewan Rakyat.

Mereka hanya kekurangan lagi sembilan kerusi untuk mencapai majoriti dua pertiga, iaitu jumlah majoriti yang diperlukan untuk meluluskan pindaan terhadap perlembagaan.

Adakah Mat Sabu masih menganggap kerajaan Perikatan Nasional sekarang ‘kerajaan pintu belakang’ ?

BN dan PAS kini mempunyai 59 kerusi. Di belakang mereka ialah GPS sebagai gabungan pembangkang yang kedua terbesar dengan 18 kerusi, diikuti oleh GBS yang mempunyai 3 kerusi.

Kemasukan Pas ke dalam gelanggang Kerajaan Campuran menegakkan kuasa politik Melayu-Bumiputera. Itu hak mereka. Masuk keluar parti sudah diiktiraf oleh mahkamah negara ini dan juga Komanwel sebagai hak masing-masing individu.

Justeru, di mana benarnya cakap-cakap kerajaan hari ini atau dikenali kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan pintu belakang?

Apatah lagi, Muhyiddin selaku Perdana Menteri telah memenuhi syarat perlembagaan (Perkara 40 dan 43), berserta restu rasmi Yang di-Pertuan Agong, sekali gus menyaksikan kedudukan kerajaan pimpinannya sah dari segi undang-undang negara.

Peruntukan dalam Perkara 40(2) ini secara jelas menyebut bahawa Yang di-Pertuan Agong boleh bertindak menurut budi bicara pada melaksanakan fungsi yang tertentu, termasuk melantik seorang Perdana Menteri.

Budi bicara baginda adalah muktamad dan tidak boleh dipersoalkan dalam mana-mana tribunal atau mahkamah. – SM

(Visited 809 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button