fbpx
Nasional

Elak penggunaan polisterin menjelang Ramadan – Raja Muda Perlis

RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengulangi titah peringatan baginda agar semua pengusaha makanan terutamanya yang menggunakan perkhidmatan penghantaran tidak lagi menggunakan polisterin sebagai bekas atau pembungkus makanan terutamanya menjelang Ramadan nanti.

Baginda bertitah langkah ini bagi memastikan keberkesanan sepenuhnya dalam menghindari penggunaan polisterin terutama sebagai bekas makanan di mana ia bukan sahaja membahayakan kesihatan bahkan bahan tersebut merupakan pencemar kepada alam sekitar.

Tuanku Raja Muda Perlis telah menitahkan secara rasminya larangan penggunaan polisterin di sebarang majlis atau program melibatkan keberangkatan baginda sejak tahun 2012 lagi. Begitu juga kempen bawa bekas makanan sendiri seperti ‘mangkuk tingkat’ ke bazar Ramadan untuk membeli juadah telah dipraktikkan oleh baginda dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil seisi kerabat diraja bermula pada tahun 2016 di negeri ini. Tahun ini akan berbeza di mana bazar Ramadan tidak lagi dibenarkan beroperasi ekoran penularan wabak pandemik Covid-19.

Tuanku Syed Faizuddin Putra turut menggesa kedai dan para pengusaha makanan supaya terus menyokong usaha ini walaupun bakal menjalankan perniagaan meraka pada Ramadan ini secara atas talian atau di tempat-tempat yang dibenarkan oleh pihak berkuasa tempatan kerana kita mahu bebas sepenuhnya daripada penggunaan polisterin sepertimana yang diamalkan dengan berjaya sekali di negara dan negeri maju yang lain yang rakyatnya bermentaliti kelas pertama dalam tindakan dengan erti kata yang sebenarnya.


Justeru baginda mencadangkan pengusaha makanan dan bazar Ramadan online hanya menggunakan bekas makanan yang boleh dikitarkan semula atau bahan biodegradasi (boleh urai) seperti kertas, kotak, kertas minyak dan sebagainya mengikut kesesuaian bagi tujuan pembungkusan sebelum dihantar kepada pembeli.

Langkah proaktif perlu diambil segera bagi menghentikan penggunaan polisterin dan usaha ini tidak boleh dilakukan secara bersendirian, sebaliknya kerjasama semua pihak di segenap peringkat dengan lebih agresif diperlukan untuk sama-sama mendidik masyarakat tentang bahaya penggunaan polisterin terhadap kesihatan dan alam sekitar, tegas Baginda.

Untuk rekod, bahan pembungkus polisterin mengandungi unsur karsinogen yang boleh mendatangkan kesan mudarat kepada kesihatan manusia. Agensi Penyelidikan Kanser Antarabangsa (IARC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkelaskan stirena sebagai bahan karsinogen kumpulan 2B iaitu agen penyebab kanser. Apa yang membimbangkan bahan-bahan kimia daripada bekas ini boleh menyerap ke dalam makanan dan seterusnya ke dalam tubuh manusia.

Stirena adalah mutagen yang menyebabkan perubahan genetik yang berpotensi merosakkan sistem pembiakan. Selain itu, pendedahan kepada stirena juga merendahkan bilangan sel darah merah. Selain itu, bekas makanan polisterin mengandungi bahan kimia stirena dan benzene yang boleh menjejaskan alam sekitar kerana sukar terurai dan mengambil masa 500 tahun untuk dimusnahkan secara alam semulajadi.

Dalam pada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) merakamkan setinggi penghargaan atas kerjasama Pejabat Perwakilan Malaysia di Warsaw, Poland khususnya kepada Duta Besar TYT Chitra Devi a/p V. Ramiah dan Ketua Canseri, Nur Atikah Anuar yang berasal dari negeri Perlis kerana dua hari yang lalu telah memanfaatkan pengagihan sumbangan kecil daripada Tabung Ibnu Sabil MAIPs bagi membantu seramai 17 orang pelajar Malaysia terpilih di sana yang terkesan ekoran penularan wabak pandemik COVID-19. – SM

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button