Nasional

Hanya 400 rakyat Malaysia di Singapura dibenar kembali setiap hari

HANYA 400 rakyat Malaysia dari Singapura akan diterima masuk ke dalam negara setiap hari melalui kedua-dua pintu masuk, iaitu Bangunan Sultan Iskandar dan Kompleks Sultan Abu Bakar di Johor Bahru, umum Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata perkara berkenaan diputuskan oleh Majlis Keselamatan Negeri Johor dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi melancarkan pergerakan masuk mereka yang terkandas di negara berkenaan ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) dikuatkuasa.

Mereka yang berhasrat pulang juga dikehendaki mendapatkan permit masuk daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di negara berkenaan yang perlu dimohon melalui e-mel [email protected], sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh pulang.

“Permohonan ini telahpun dibuka dan pihak Suruhanjaya Tinggi telah menerima 900 permohonan setakat ini daripada rakyat Malaysia yang berada di republik itu,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di sini, hari ini.

Ismail Sabri berkata sepertimana Prosedur Operasi Standard biasa, mereka yang pulang dari Singapura ini akan dikenakan kuarantin selama 14 hari.

Sebelum ini dilaporkan bahawa kerajaan menetapkan rakyat Malaysia yang berhasrat untuk pulang ke  tanah air dari Singapura melalui jalan darat perlu mendapatkan Permit Masuk daripada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di sini, bermula 27 April.

Menurut notis umum di laman Facebook, pemohon perlu menghantar butiran berikut – nama, nombor kad pengenalan dan pasport, tarikh berlepas – ke alamat e-mel [email protected], sekurang-kurangnya dua hari sebelum tarikh berlepas.

Satu salinan pas – Penduduk Tetap Singapura, Pas Jangka Panjang, Permit Kerja, Pelajar dan lawatan sosial – perlu dilampirkan bersama.

Setelah diluluskan, Suruhanjaya Tinggi akan membalas e-mel mereka yang mengandungi nombor rujukan unik.

Mereka kemudiannya perlu mencetak atau mengambil tangkapan skrin telefon bimbit e-mail tersebut dan diserahkan di Pusat Pemeriksaan Imigresen Malaysia di Johor Bahru.

Semalam Singapura melaporkan 618 kes baharu jangkitan COVID-19 menjadikan jumlah kes keseluruhan 12,693.

Ia adalah hari kedua berurut-turut jumlah kes harian jatuh di bawah paras 1,000 kes dengan 897 kes baharu dilaporkan semalam manakala bilangan tertinggi kes harian iaitu 1,426 dicatatkan, Isnin lalu.

Menurut perangkaan awal MOH, majoriti kes baharu itu melibatkan pekerja asing yang tinggal di asrama sementara tujuh kes melibatkan rakyat Singapura atau Penduduk Tetap.

MOH, dalam kenyataan, berkata seramai 956 pesakit telah sembuh dan dibenarkan keluar daripada hospital atau fasiliti pengasingan komuniti, 24 dalam keadaan kritikal di Unit Rawatan Rapi (ICU) manakala 12 pesakit meninggal dunia.

Setakat semalam, MOH telah menutup sebuah kluster PCF Sparkletots Preschool di Bedok North selepas tiada kes dikaitkan dalam dua tempoh inkubasi tamat.

Singapura telah mengenal pasti enam lagi kluster baharu yang majoritinya asrama pekerja asing dan kluster terbesar, S11 Dormitory@Punggol setakat ini mencatatkan 2,263 kes. – BERNAMA

(Visited 223 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button