Nasional

MAIPs terus khidmat hadapi PKP Tahap 3

Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) mengambil langkah untuk meneruskan perkhidmatan perlu sebagai langkah menghadapi pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Tahap 3 sehingga 28 April 2020 seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia.

Langkah berkenaan dilihat signifikan dengan pelanjutan tempoh PKP apatah lagi umat Islam akan berhadapan bulan Ramadan Mubarak yang bakal bermula tidak lama lagi.

Demikian menurut arahan terkini MAIPs yang diperkenankan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, selaku Yang DiPertua MAIPs kepada semua perkhidmatan majlis yang dikeluarkan pada hari ini.

Antara perkhidmatan perlu yang diteruskan adalah pembayaran bantuan bulanan, proses penerimaan Unit Kutipan, proses pembayaran berkeperluan, aktiviti turun padang dan jejak asnaf.

Selain itu, MAIPs turut meneruskan perkhidmatan Kaunter Agihan Terhad di Masjid Alwi Kangar dan Agihan Bantuan Kecemasan Masjid untuk keperluan mendesak.

Dalam masa yang sama, MAIPs turut bersedia melaksanakan proses pengagihan seperti biasa sepanjang bulan Ramadan yang dijangka akan memberikan manfaat kepada para penerima bantuan fitrah, golongan anak yatim dari kalangan asnaf, institusi pendidikan Islam, pusat-pusat kebajikan, golongan muallaf serta akan turut melaksanakan aktiviti agihan lain seperti kepada para petugas sempadan dan sebagainya.

Walaubagaimanapun, MAIPs komited melaksanakan aktiviti-aktiviti sepanjang bulan Ramadan ini dengan mematuhi segala garis panduan yang telah ditetapkan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan khususnya Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sepanjang PKP Tahap 3.

Beberapa perancangan bagi menambah perkhidmatan atas talian dan juga kaunter pandu lalu juga sedang dipertimbangkan untuk dilaksanakan oleh pihak MAIPs.

Dari sudut pengimarahan ibadah sepanjang Ramadan pula, beberapa langkah keselamatan akan diumumkan dari masa ke semasa bagi memberikan panduan kepada umat Islam di negeri ini selari dengan keputusan panduan dan irsyad Jabatan Mufti Negeri Perlis selain semua agensi Agama Islam di Negeri Perlis seperti Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis (JKSNPs) akan merancang aktiviti dan perkhidmatan mengikut kebiasaan baharu (new normal) sepanjang tempoh PKP ini dan juga pasca PKP kelak. – SM

(Visited 125 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button