Politik

Keputusan perwakilan PAU2022 muktamad – Ahmad Zahid Hamidi

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan keputusan perwakilan menyokong usul tambahan dari Negeri Sembilan agar jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan parti akan datang tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak.

Menegaskan perkara tersebut Timbalan Perdana Menteri berkata, keputusan yang diputuskan oleh Pengerusi Tetap UMNO, Tan Sri Badruddin Amiruddin mendapat persetujuan majoriti daripada perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) adalah muktamad.

“PAU2022 adalah badan tertinggi di dalam UMNO ia tercatat dengan jelas dalam Perlembagaan UMNO itu sendiri. Keputusan yang dibuat oleh Pengerusi Tetap adalah muktamad.

“Selain itu, keputusan tersebut dibuat cukup jelas tidak melanggar perlembagaan dan peraturan Mesyuarat PAU2022.

“Pengerusi Tetap UMNO telah melakukan sepenuhnya perkara-perkara yang terdapat di dalam perlembagaan parti termasuk tambahan usul yang dibentangkan wakil dari Bahagian Rembau,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas ucapan penangguhan PAU2022 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di Kuala Lumpur di sini hari ini.


Hadir sama Timbalannya, Datuk Seri Mohamad Hasan, dua Naib Presiden, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mahdzir Khalid, Ketua Pergerakan Wanita, Datuk Seri Noraini Ahmad, Ketua Pergerakan Pemuda, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, seorang lagi Naib Presiden yang juga bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak hadir pada sidang akhbar tersebut.

Mengulas lanjut Ahmad Zahid berkata, mereka tidak merasakan bahawa tambahan usul perkara lapan ucapan pencadang ketika membahas ucapan dasar Presiden sepenuhnya mengikuti beberapa fasal yang terdapat di dalam perlembgaan parti.

“Kami tidak mengikuti bagaimanakah jurucakap, pencadang dan penyokong melakukannya tetapi yakin daripada penelitian terhadap ucapan-ucapan tersebut.

“Mereka mahu parti dapat berjalan dengan baik dan untuk jawatan Naib Presiden ke bawah ia terbuka untuk ditandingi seperti biasa,” ujarnya.

Ditanya mengenai tindakan Khairy Jamaluddin mendakwa wujud perwakilan import pada PAU2022 Ahmad Zahid berkata, itu satu perkara yang lain yang akan dibincangkan oleh Lembaga Disiplin dan Jawatankuasa Pengurusan UMNO. – SM

(Visited 133 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button