Politik

UMNO Terengganu lega dua jawatan utama tidak dipertandingkan

UMNO Terengganu menyambut baik keputusan para perwakilan pada Perhimpunan Agung UMNO 2022 (PAU2022) menyokong agar jawatan Presiden dan Timbalan tidak dipertandingkan pada pemilihan
parti itu tidak lama lagi.

Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said berkata, keputusan perwakilan itu adalah tepat dan wajar kerana tidak mahu berlaku perpecahan dalam parti sehingga boleh menjejaskan persiapan parti menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam buah negeri.

Menurutnya, keputusan yang dibuat untuk menyokong usul tambahan yang dibawa perwakilan dari Negeri Sembilan itu sebenarnya tidak mematikan demokrasi yang ditunjangi parti dan bukannya untuk menimbulkan polemik.

“Nampaknya perwakilan UMNO amat sayangkan parti, kita lihat apabila usul dikemukakan dan dibahaskan ada pandangan-pandangan berbeza.

“Akhirnya ramai menjadi saksi lebih daripada 90 peratus memberi sokongan dua jawatan utama dalam parti tidak dipertandingkan.

“Ini dibuat adalah demi solidariti bagi menghadapi PRN di enam negeri tidak lama lagi.

“Ini juga memberi ruang untuk pemimpin menentukan hala tuju parti dan menyuburkan penyatuan dalam kalangan ahli,” jelas beliau dalam sidang akhbar di Laman Media, pada hari terakhir PAU2022 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, hari ini.

Ahmad yang juga bekas Menteri Besar Terengganu berkata, keputusan menyokong atau tidak usul dua jawatan utama dipertandingkan itu dibuat oleh Pengerusi Tetap, Tan Sri Badaruddin Amin sejurus wakil dari Melaka menjadi pembahas terakhir usul ucapan dasar Presiden.

Kata Pengerusi Tetap, perwakilan yang menyokong agar tidak ada pertandingan diminta bangun dan mengangkat tangan dan hanya kira-kira 40 daripada perwakilan menolak usul berkenaan.

Menurutnya, usul tambahan yang dibawa oleh wakil UMNO Bahagian Rembau, Mohd. Shukri Shamsudin semalam berkaitan dua jawatan utama itu tidak dipertandingkan, sama sekali tidak bertentangan dengan Fasal 30 Perlembagaan UMNO dan Perkara 10 Peraturan Persidangan.

“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada seluruh perwakilan yang masih setia dan tidak mahu melihat perpecahan setiap kali berlakunya pertandingan di peringkat atasan UMNO sentiasa berpecah,” ujarnya. – SM

(Visited 401 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button