Politik

MoU jelas nyatakan RUU Anti Lompat Parti mesti dibentang Mac

PERJANJIAN Persefahaman (MoU) antara Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan secara jelas menyatakan Rang Undang-undang (RUU) Anti Lompat Parti mesti dibentang dan diluluskan pada mesyuarat pertama Parlimen tahun ini, kata Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.

Mengulas kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, Guan Eng berkata, ini bermakna ia perlu diluluskan dalam tempoh bulan ini memandangkan mesyuarat pertama akan berakhir Khamis ini.

Ahli Parlimen Bagan itu menunding jari ke arah Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh, takut untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) kerana bimbang tidak diberi surat watikah bertanding sebagai calon UMNO kerana memberontak melawan Presiden partinya sendiri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini.

“Tetapi janganlah kerana takut tak dapat bertanding (dalam PRU15)sehingga nak ubah fakta dan membelakangkan kebenaran.

“Tolonglah baca MoU yang ditandatangani antara pemimpin PH dan Perdana Menteri anda sendiri,” ujar Guan Eng.

Jelas Guan Eng, dinyatakan dalam MoU secara hitam putih bahawa Rang Undang-Undang Anti-Lompat Parti hendaklah dilaksanakan tidak lewat daripada mesyuarat pertama Parlimen tahun 2022.

“Sekiranya janji Perdana Menteri dan kerajaan Malaysia secara hitam putih pun tak boleh dipercayai, apa makna MoU yang ditandatangani? Bila Perdana Menteri yang pecah janji MoU bukankah MoU akan terbatal?

“Berusahalah menyempurnakannya (MoU) dengan segera. Kalau tidak, dan MoU terbatal, anda harus bertanggungjawab penuh ke atas segala implikasinya,” kata Guan Eng kepada Annuar dalam hantaran di Facebook hari ini.

Menurut Guan Eng lagi, Akta Anti Lompat Parti penting untuk menghapuskan katak politik yang bertopengkan wakil rakyat tetapi mengkhianati mandat rakyat kerana ia meracuni keyakinan orang ramai ke atas sistem demokrasi.

Semalam, Annuar memberitahu DAP untuk tidak membuat kenyataan yang mengelirukan rakyat terutamanya mengenai MoU sambil menyatakan, 80% daripada perkara MoU itu telah atau sedang dilaksanakan.

Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) itu juga berkata, kerajaan tidak akan tunduk kepada ugutan daripada mana-mana parti politik mengenai perkara yang boleh mengelirukan rakyat.

Annuar mengulas kenyataan Guan Eng selepas bekas Setiausaha Agung DAP itu berkata, MoU terbabit akan “berakhir dan ditamatkan” sekiranya RUU itu tidak dibentangkan seperti dijanjikan.

Pada asalnya ia dijadualkan untuk dibentang dalam mesyuarat Dewan Rakyat ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Wan Junaidi Tuanku Jaafar minggu lepas berkata, RUU itu memerlukan “perbincangan lanjut” dengan pihak berkepentingan daripada BN dan Perikatan Nasional (PN) bagi memastikan ia boleh mendapat sokongan mencukupi di Dewan Rakyat. – SM

 

(Visited 190 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button