Politik
Trending

Lim Kit Siang dan taruhannya yang sentiasa dimungkiri

TIMBALAN Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan atau Tok Mat berkata, beliau menunggu lagi ajakan Lim Kit Siang untuk bertaruh semula yang dari apa yang diketahuinya, taruhan politik supremo DAP itu harganya ialah kemungkiran (tidak ditunaikan).

Teringat hari ini `ulang tahun pertama’ ajakan Kit Siang kepada beliau pada 10 Mei 2019 semasa pilihan raya kecil Sandakan, untuk bertaruh bahawa Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menyerahkan jawatan Perdana Menteri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim, Tok Mat tertanya-tanya “entah apa pula cabaran beliau untuk saya kali ini”.

“Di Sandakan, kata Kit Siang, beliau lebih mempercayai Tun Mahathir. Sebagai taruhannya, beliau akan bersara dari politik dan tidak akan bertanding dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) sekiranya Tun Mahathir tidak menunaikan janjinya.

“Cabaran beliau ialah untuk saya menarik diri dari politik dan tidak bertanding dalam PRU-15.

“Pada hari ini 10 Mei 2020, Anwar menjadi Ketua Pembangkang. Tun Mahathir bertarung untuk menyelamatkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) dan Kit Siang kembali menjadi Ahli Parlimen pembangkang.

“Demikianlah melesetnya ramalan Kit Siang sebagai ‘supremo’ politik’ DAP.
Kit Siang telah banyak kali berjanji akan mengundurkan diri dari politik, namun ia tidak pernah dikotakan.

“Beliau terus-terusan bertanding dalam pilihan raya seakan DAP ini tidak boleh ke mana tanpanya.

“Oh! sebelum saya lupa, terlintas dalam fikiran saya apakah beliau masih mempercayai Tun Mahathir seperti mana kepercayaan yang beliau zahirkan setahun lepas di Sandakan.

“Saya pasti kepercayaannya masih menebal!,” kata Tok Mat kepada SUARA MERDEKA hari ini.

Pada 10 Mei 2019, di Sandakan, Kit Siang berkata, beliau sanggup mempertaruhkan kerjaya politiknya sekiranya janji Dr Mahathir untuk menyerahkan jawatannya kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak ditunaikan.

Malah beliau Dr. Mahathir akan melaksanakan janjinya untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Adun Port Dickson itu apabila tiba masanya.

“Saya yakin bahawa Dr Mahathir akan memberi peluang kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memegang jawatan tersebut.

“Saya akan melepaskan jawatan sekiranya jawatan perdana menteri tidak dilepaskan kepada Anwar dan jika ada Pilihan Raya Umum Ke-15 juga saya tidak akan bertanding,” kata pemimpin veteran DAP itu dalam ucapannya pada ceramah Pilihan Raya Kecil Sandakan DAP di Taman Mesra, Sandakan. -SM

(Visited 159 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button