Politik

Najib faham tindakan Ismail Sabri kekalkan menteri

AHLI Parlimen Pekan Datuk Seri Najib Tun Razak memahami tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengekalkan bekas menteri ketika pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin.

Najib yang juga bekas perdana menteri ke-6 berkata, Ismail Sabri berbuat demikian bagi mengelakkan perubahan yang terlaku besar ketika tempoh kritikal yang sedang dialami negara.

“Saya perhati ramai yang kecewa dengan pengumuman kabinet baharu hari ini. Seolah-olah kebanyakan menteri dan timbalan menteri adalah orang yang sama dan ini adalah kabinet recycle.

“Bagaimanapun, saya faham kenapa PM-9 dan Yang di-Pertuan Agong membuat keputusan berikut. Agar mengelak perubahan terlalu besar dilakukan pada ketika tempoh kritikal ini,” kata Najib.

Tambah beliau, hampir separuh kementerian telah bertukar menteri.


Pertukaran menteri melibatkan Kementerian Luar Negara, Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Kementerian Komunikasi dan Multimedia, Kementerian Wilayah Persekutuan, Kementerian Tenaga dan Sumber Asli, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Belia dan Sukan serta Kementerian Usahawan dan Koperasi.

Selain itu, menteri-menteri bagi agama, undang-undang dan Tugas-Tugas Khas di Jabatan Perdana Menteri turut bertukar.

Najib yakin dasar Majlis Keselamatan Negara bagi pengawalan pandemik Covid-19 akan berubah kerana peneraju majlis itu telah bertukar.

Sementara itu Najib berharap Ismail Sabri akan menggugurkan mana-mana menteri yang gagal melaksanakan tanggungjawab dalam tempoh 100 hari.

“Jadi, harapan saya satu sahaja. Bahawa kabinet hari ini PERLU berdasarkan hasil dan pencapaian.

“Dan PM-9 akan gugurkan menteri-menteri yang gagal membuktikan pencapaian serta kemampuan mereka selepas tempoh 100 hari yang diberi telah berlalu.

“InsyaAllah, saya akan membantu seberapa yang mungkin dalam usaha memulihkan negara dari segi Covid, ekonomi dan kesejahteraan Rakyat. Selamat bertugas. The countdown to 100 days begins now,” katanya.

Kabinet baharu yang diumumkan Ismail Sabri menyaksikan hanya dua menteri dari pentabiran Muhyiddin digugurkan iaitu Datuk Dr. Zulkifli Mohamad dan Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.

Beberapa menteri kekal di kementerian dahulu dan lain-lain ditukar ke kementerian lain.-SM

(Visited 197 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button