fbpx
Politik

Sebelum sidang Parlimen bermula, Khalid label PM pengkhianat di Twitter

BEBERAPA jam lagi Dewan Rakyat akan berlangsung buat pertama kali selepas penubuhan Kerajaan Perikatan Nasional tiga bulan lalu.

Ramai yang menjangkakan ahli Parlimen Pakatan Harapan akan mengambil kesempatan dalam Dewan Rakyat untuk meluahkan kemarahan dan dendam kerana dijatuhkan sebagai Kerajaan Persekutuan dengan cara yang agak memalukan.

Antara yang bakal diberi tumpuan oleh rakyat adalah Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad yang sekian lama berapi-api di Twitter.

Pagi ini beliau memulakan ciapan di Twitter dengan melaberkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin sebagai pengkhianat.

“Pagi ini akan diketahui sejauh mana sokongan terhadap si pengkhianat, Muhyiddin, yang sanggup menjatuhkan kerajaan pilihan rakyat, yang turut menaikkannya, semata-mata kerana ingin menjadi Perdana Menteri.


“Ditubuhnya gabungan pengkhianat dan penyamun untuk menafi pilihan rakyat,” ciap Khalid.

Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara itu juga mahu melihat sejauhmana parti Pas dan UMNO berani untuk membubarkan Parlimen.

“Akan juga diketahui sejauhmana keberanian PAS dan UMNO untuk bubarkan dewan seperti dilaung-laungkan selama ini. Sekadar acah-acah jer, atau benar-benar berani seperti yang didakwa.

“Bagi PH, gabungan Tun dan Warisan, kami ingin nyatakan “Wahai Pengkhianat! Nyah kau dari sini,” kata bekas Menteri Wilayah Persekutuan itu.

Kelancaran sidang Dewan Rakyat yang dijadual bermula hari ini akan bergantung kepada sokongan ahli Parlimen ke atas usul pengosongan jawatan Yang Dipertua dewan itu.

Berdasarkan Aturan Mesyuarat dan Usul-usul Dewan Rakyat, usul berkenaan yang akan dibawa Muhyiddin berada di aturan kedua, esok.

Selain usul berkenaan, menurut Aturan Mesyuarat, Perdana Menteri turut akan mengusulkan supaya bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dipilih menggantikan Mohamad Ariff.

Muhyiddin juga akan mengusulkan supaya Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Nga Kor Ming mengosongkan jawatannya, sebelum membawa usul supaya Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said menggantikan Kor Ming.

Sekiranya mendapat undian majoriti Ahli Parlimen, Azhar akan menjadi Speaker ke-10, manakala Azalina akan mencipta sejarah sebagai wanita pertama dipilih untuk mempengerusikan sidang Dewan Rakyat.

Dalam perkara mencalonkan nama bagi jawatan Yang Dipertua atau Speaker Dewan Rakyat, ia boleh diusulkan mana-mana Ahli Parlimen, namun perlu dilakukan dalam tempoh tidak kurang 14 hari sebelum Dewan Rakyat bersidang.-SM

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button