Politik

“Ditendang” dari Amanah Kedah, Phahlolrazi masuk PH

BEKAS Pengerusi Amanah Kedah, Phahrolrazi Zawawi yang dipecat daripada parti itu bulan lalu memaklumkan tidak berminat menyertai semula PAS atau Perikatan Nasional (PN).

Beliau bersama lebih 200 individu lain terdiri daripada bekas pemimpin dan ahli Amanah Kedah yang mengumumkan keluar parti akan menyertai satu parti lain dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Besar kemungkinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) walaupun tidak dinyatakan oleh Phahrolrazi.

“Kita buat keputusan untuk sertai salah satu parti dalam PH juga tetapi buat masa ini kita tak umum dulu parti mana.

“Kita tidak berminat kembali kepada PAS atau parti dalam gabungan PN,” katanya kepada FMT ketika ditanya sama ada terdapat tawaran menyertai semula PAS atau PN selepas dipecat Amanah.

Beliau turut memaklumkan akan ada lebih ramai ahli dan pemimpin Amanah Kedah yang akan keluar parti dalam masa terdekat susulan pengundian bagi kerusi Parlimen Padang Serai.

“Ramai nak tunggu selepas hari mengundi Parlimen Padang Serai. Selepas itu ramai lagi akan keluar Amanah,” katanya.

Ditanya sama ada tindakan pihaknya ingin menyertai parti PH lain akan menyebabkan gabungan itu semakin berpecah dan dituduh mencuri ahli, Phahrolrazi yang juga ADUN Alor Mengkudu berkata, ia bukan perkara baru memandangkan bekas wakil rakyat Amanah sebelum ini menyertai parti lain termasuk PKR.

“Sebenarnya isu perpindahan parti dalam PH sudah berlaku di Johor, Selangor sebelum ini melibatkan wakil rakyat Amanah masuk parti lain (PKR) dalam gabungan.

“Dalam PH tiada ketetapan bahawa tak boleh berlaku perpindahan. Apabila tak sehaluan dengan parti A, boleh pergi ke parti B, ia tak dianggap satu permusuhan sebab masih lagi satu gabungan,” jelasnya.

Phahrolrazi dipecat daripada Amanah pada 30 Oktober lalu kerana didapati melanggar perlembagaan, mengingkari keputusan parti dan melakukan perbuatan bertentangan kepentingan parti.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad menjelaskan Phahrolrazi dipecat kerana cuba menghasut pimpinan dan ahli Amanah Kedah supaya memboikot Pilihan Raya Umum Ke15 (PRU15).

Ekoran itu lebih 200 individu termasuk Speaker Amanah Kedah, Kassim Mat Isa dan timbalannya, Jamil Che Dan, Ketua Pemuda Negeri, Mohd Ridzwan Arshad Ahmad serta hampir seluruh kepemimpinan Pemuda Amanah negeri Kedah meninggalkan parti. – SM

(Visited 1,259 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button