Hiburan

Dayang Nurfaizah akui banyak persembahan batal, pendapatan berkurangan

PELAKSANAAN Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sememangnya memberi kesan kepada semua orang termasuk daripada segi ekonomi.

Turut terkesan ialah penyanyi, Dayang Nurfaizah yang mengakui pendapatannya terjejas ekoran pembatalan banyak persembahan.

“Memang banyak persembahan yang terpaksa dibatalkan dan perkara itu benar-benar menjejaskan pendapatan.

“Kalau nak dibandingkan pendapatan sebelum dan selepas PKP, memang jumlahnya berkurang,” katanya.

Dalam pada itu, Dayang berkata, dia tidak nafikan situasi sekarang memang menimbulkan kerisauan dan semua pihak perlu menjaga diri masing-masing.

Ujarnya, apa yang jadi sekarang adalah norma baharu dan mahu atau tidak, semua orang perlu berhadapan dengan situasi tersebut.

“Mahu atau tidak, kita memang kena jaga diri. Macam saya, di rumah pun ada budak kecil, ibu bapa. Jadi memang saya kawal pergerakan.

“Malah, ibu bapa saya juga sudah lama tidak pulang ke Kuching, Sarawak,” katanya.

Dalam pada itu, Dayang juga tampil dengan album terbaharu berjudul Belagu selepas 15 tahun.

Dengan mengetengahkan lagu-lagu Melayu Klasik untuk album projek khas bersama Aubrey Suwito itu, Dayang menyatakan ia adalah impiannya sejak dahulu untuk mempopularkan lagu-lagu Melayu Klasik kepada generasi muda.

Menurut Dayang, untuk judul album berkenaan iaitu ‘Belagu’ diambil daripada bahasa Sarawak yang bermaksud ‘menyanyi.

Ujarnya, terdapat lapan buah lagu yang terkandung seperti Tudung Periuk, Jikalau Abang Merindu, Tak Seindah Wajah, Malam Ku Bermimpi, Gurindam Jiwa (duet bersama Hael Husaini), Tari Tualang Tiga, Dikirim Jangan Dipesan Jangan dan Kenang Daku Dalam Doamu.

Dalam pada itu, penyanyi itu menyatakan antara kelainan yang ditampilkan untuk album berkenaan apabila ia dirakam secara live dan bukan di dalam studio seperti kebiasannya.

“Sebenarnya, impian untuk merakamkan lagu ini secara live dengan diiringi pemuzik memang satu lagi impian saya sejak dahulu.

“Pada saya, rakaman secara live sebenarnya memberi lebih kepuasan kepada saya berbanding rakaman di studio, biarpun membabitkan kos yang tinggi,” jelasnya.

Album ini boleh diperoleh secara digital di platform muzik maya utama seperti Spotify, Apple Music, iTunes, KKBox, Deezer, dan Joox mulai 12 Februari 2020. Selain itu, ia juga akan dijual secara album fizikal dalam edisi terhad. -SM

(Visited 507 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button