Nasional

Covid-19: Kerajaan lebih bersedia walau angka kes meningkat berganda

KERAJAAN memaklumkan lebih bersedia menghadapi pandemik Koronavirus (Covid-19) berbanding peringkat awal penularannya pada awal tahun lalu.

Justeru, masyarakat dinasihatkan agar tidak panik dan membuat kesimpulan sendiri apabila mendapati peningkatan jumlah kes Covid-19 hari ini.

Ini kerana, kemampuan untuk melaksanakan ujian saringan dan kaedah pengesanan kontak rapat juga lebih baik dengan penggunaan aplikasi MySejahtera.

“Saya memberi jaminan bahawa usaha untuk mengesan kontak rapat sekarang adalah lebih mudah berbanding peringkat awal penularan.

“Ini kerana terdapat 17 juta penduduk di Malaysia menggunakan aplikasi MySejahtera sementara pengguna yang mendaftarkan tanggungannya sudah melebihi 60 peratus.

“Ini adalah satu perkembagan positif kerana kita hidup dalam normal baharu. MySejahtera antara normal baharu yang mesti dibudayakan.”

Demikian kata Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam perutusan khas mengenai perkembangan pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung hari ini.

Beliau berkata demikian memberi jaminan, jumlah jangkitan Covid-19 ini dapat diatasi jika pematuhan operasi prosedur standard (SOP) dipatuhi oleh semua orang.

Terdahulu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr, Noor Hisam Abdullah memaklumkan sebanyak 691 kes baharu dicatatkan pada hari ini.

Dalam pada itu, Muhyiddin turut memaklumkan negara mempunyai keupayaan untuk merawat pesakit Covid-19 berikutan penambahan beberapa kelengkapan di hospital.

“Saya juga yakin dengan petugas kesihatan dan pihak berkuasa dalam membendung wabak ini.

“Saya dimaklumkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan, kita mempunyai alat bantu pernafasan (ventilator), kelengkapan perlindungan peribadi (PPE) dan bekalan ubatan yang mencukupi.

“Malah jumlah katil yang dikhaskan untuk merawat pesakit Covid-19 adalah mencukupi dengan kapasiti penggunaan 29 peratus sahaja,” ujarnya. – SM

(Visited 46 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan

Wartawan, petugas media Suara Merdeka

Related Articles

Back to top button