Bola SepakSukan

Kedah tewas 4-1 kepada FC Seoul

KEDAH tewas 1-4 kepada FC Seoul dalam perlawanan play-off pusingan ketiga kelayakan Liga Juara-Juara AFC di Stadium Piala Dunia Seoul, Korea Selatan.

Lebih perit pasukan hijau kuning itu bermain dalam 54 minit baki perlawanan dengan hanya 10 pemain.

Pemain Kedah dari Brazil, Renan Alves dilayangkan kad merah selepas mendapat kad kuning kedua setelah tangannya terkena di kotak penalti pada minit ke-36.

Bbekas pemain antarabangsa Korea Selatan Park Chu-Young menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan pengadil perlawanan dua minit kemudian.

Ketua Jurulatih Kedah, Aidil Sharin Sahak menggantikan pemain tengah David Rowley dengan Muhd Zulkhairi Zulkeply untuk mengukuh bahagian tengah sementara Mohd Shahril Sa’ari bertungkus lumus menyelamatkan gawangnya daripada serangan bertubi-tubi pasukan tuan rumah sehingga waktu rehat.

Dalam Kedah berusaha merapatkan jurang gol, bekas pemain Korea Selatan Bawah 23 tahun Park Dong-Jin menggandakan kedudukan pasukannya empat minit selepas babak kedua bermula menerusi tandukan hasil satu hantaran silang dari sebelah kanan.

Kedah mendapatkan gol sagu hati selepas pemain tuan rumah, Osmar Ibanez Barba dari Sepanyol menanduk bola masuk ke dalam gawang sendiri pada minit ke-51.

Tetapi pemain pertahanan berusia 31 tahun itu menebus kembali kesilapannya dengan memperoleh gol ketiga FC Seoul menerusi sepakan percuma pada minit ke-63.

Pasukan tuan rumah mendapat gol keempat mereka pada masa kecederaan di akhir babak kedua menerusi rembatan jarak jauh Ikram Alibaev yang menewaskan Mohd Shahril.

FC Seoul akan menyertai Beijing FC dari China, Chiangrai United (Thailand) dan Melbourne Victory (Australia) dalam Kumpulan E pada peringkat pertandingan kumpulan.

Keputusan hari ini menyaksikan Kedah yang membelasah pasukan Liga Premier Hong Kong, Tai Po FC dalam perlawanan awal pusingan kedua Liga Juara-Juara AFC di Stadium Darul Aman di Alor Setar, Kedah Selasa lepas, akan bertanding dalam Kejohanan Piala AFC, pertandingan yang mempunyai ranking lebih rendah.

Sementara itu, Juara Liga Super Malaysia 2019, Johor Darul Ta’zim (JDT) kekal sebagai wakil tunggal kelab Malaysia dalam Liga Juara-Juara AFC, pertandingan bola sepak peringkat kelab teratas di Asia.- BERNAMA

(Visited 114 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button