Sukan

Aksi Morbidelli, Quartararo meningkat di GP Styria

PELUMBA pasukan Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT) Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo masing-masing menduduki tangga kesembilan dan ke-14 keseluruhan selepas menamatkan sesi latihan bebas (FP) Grand Prix Styria di Litar Red Bull Ring, Austria.

Pada sesi latihan bebas pertama (FP1), Morbidelli yang terlibat dalam insiden pada perlumbaan minggu lepas mencatat masa 1 minit 24.198 saat untuk menduduki tempat keenam, namun gagal bermula dengan baik pada awal sesi latihan kedua (FP2)  sebelum kembali menemui rentak dan merekodkan masa 1:24.187s untuk menduduki tangga ketujuh.

“Gembira dapat kembali berlumba hari ini. Pada FP1 saya cuba faham mengenai keadaan fizikal. Saya agak terkejut dengan apa yang dirasai. Saya berasa bagus di atas motosikal dan tiada perkara besar timbul.

“Saya bernasib baik dalam beberapa aspek kerana ia bukan trek yang sukar, itu sangat membantu. Secara keseluruhan, ia adalah hari yang baik, kelajuan yang elok walau ia boleh sebenarnya boleh lagi baik.

“Kami telah mencuba tayar sederhana, menyedari hujung minggu ini mungkin berlaku kurang cengkaman dan cuba adptasi dengan situasi itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.


Sementara itu, Quartararo yang banyak kehilangan masa kerana terkeluar dari trek, menamatkan kedudukan dalam kelompok 10 terbaik dengan 1:24.381s pada FP1 tapi mengalami sedikit kesukaran pada FP2.

“Kami sedikit bergelut dengan keadaan brek pada sesi pagi, tapi sesi tengah hari sudah menemui penyelesaian. Masalah ketika FP2 pula pada ketetapan jentera kerana tidak pasti keadaan tayar.

“Kami perlu melihat perkara ini. Kami melihat kepada kelajuan pada FP2 tapi ia bukan keputusan yang dikehendaki. Saya tidak begitu gembira namun kami masih ada FP3 dan FP4 untuk memperbaiki perkara yang perlu,” katanya.- BERNAMA

(Visited 27 times, 1 visits today)

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button