Nasional

Menteri baharu DNA lama, perangai lama, tabiat sama

NAMPAKNYA pemimpin di Malaysia ini termasuk menteri datanglah daripada parti mana pun, perangai lebih kurang sama. Mereka lebih mementingkan diri sendiri daripada kepentingan rakyat.

Sebab itu timbul isu menteri pergi lawatan ke luar negara, dan apabila pulang daripada apa yang dikatakan tugas rasmi (ada juga yang tuduh menteri bawa keluarga makan angin) tidak perlu jalani kuarantin wajib. Sepatutnya sebagai pemimpin tunjuklah teladan yang baik.

Patuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Bukan sembunyi-sembunyi pulang dan abaikan aspek keselamatan ketika wabak Covid-19 masih mengganas.

Hendak katakan menteri ini buta huruf atau pendek akal tanpa mengetahui apa yang berlaku di sekelilingnya rasanya tidak.

Beliau tentu berada dalam mesyuarat Kabinet yang membincangkan betapa seriusnya pandemik Covid-19 ini.

Malah negara yang beliau lawat iaitu Turki merupakan antara negara yang mempunyai kes Covid-19 paling tinggi.

Setiap hari negara itu mencatatkan lebih 1,000 kes baharu, dan kes positif keseluruhan di negara itu lebih 250,000. Sudah tentu sesiapa sahaja yang melawat negara tersebut berisiko dijangkiti dan wajib dikuarantin.

Ini tidak, menteri kita yang bijak laksana ini memberikan macam-macam alasan untuk mewajarkan tindakannya tidak kuarantin. Termasuk mengatakan beliau sudah tiga kali diuji sejak pulang pada Julai lalu.

Memang si menteri sudah minta maaf, tetapi itupun selepas tembelangnya sudah pecah, isu sudah viral dan rakyat dari segenap pelosok negara sudah menurunkan kutukan kepadanya.

Begitulah sikap pemimpin kita, sebiji macam filem Musang Berjanggut, ‘undang-undang itu kanda yang buat’. Jadi suka hati bapak menteri untuk buat apa pun.

Bayangkan ketika mereka yang marhain yang melanggar perintah kuarantin dikenakan denda yang tinggi sang menteri pula boleh pergi ceramah sana sini.

Di Kedah lelaki berusia 57 tahun dipenjara lima bulan dan didenda RM12,000. Di Ipoh wanita berusia 72 tahun dipenjara RM8,000.  Tetapi YB Menteri bebas ke sana-sini.

Rasanya menteri ini tidak pernahkan fikirkan rakyat di beberapa tempat yang terpaksa memakai gelang merah jambu sedangkan mereka tidak pernah ke mana-mana pun, sebaliknya orang yang baru pulang dari luar negara yang membawa virus itu hingga satu kampung, satu mukim malah satu daerah kena pakai gelang puaka tersebut.

Syabas lah kita ada menteri yang telunjuk lurus kelengkeng berkait, yang kokok berderai-derai tapi ekor bergelumang tahi.

Secara tidak langsung menteri seperti ini turut memberi gambaran buruk kepada kerajaan, kerana pada pandangan rakyat ada sikap double standard dalam menangani kes Covid-19. Untuk rakyat biasa prosedurnya lain tetapi untuk menteri lain pula.

Hairan betul kenapa menteri tidak boleh menunjukkan teladan yang baik ketika negara dilanda bencana dan ketika rakyat sedang menderita.

Hal yang sama juga berlaku kepada seorang timbalan menteri yang kononnya mahu anaknya jadi ahli lembaga sebuah syarikat GLC.

Apabila sudah kecoh, sudah viral barulah cakap sudah arahkan supaya ia dibatalkan. Wayang apakah ini? Sampai bila mahu bersandiwara dengan rakyat? Letih apabila negara kita masih lagi memiliki pemimpin dengan DNA yang seperti ini.

Nasib baik perkara itu menjadi viral, jika tidak habis anak beranak diangkut masuk GLC.

Nampaknya di Malaysia ini menteri sahaja baharu, tetapi membawa DNA lama dengan perangai yang lama serta tabiat yang sama.

Sepatutnya sebagai pemimpin mereka akan berfkikir seribu kali sebelum melakukan sesuatu yang ada kaitan dengan kepentingan peribadi. – SM

(Visited 153 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button