Bola SepakSukan

Akademi JDT yang pertama terima anugerah Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM

AKADEMI Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) menjadi akademi bola sepak pertama di negara ini menerima anugerah Ahli Emas Piagam SupaRimau Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) untuk program pembangunan bola sepak akar umbinya.

Anugerah SupaRimau FAM yang julung kali diperkenalkan badan induk bola sepak itu adalah inisiatif dan komitmen FAM untuk meningkatkan standard akademi bola sepak Malaysia dan meletakkan mereka di landasan yang betul di peringkat bola sepak akar umbi.

Pengarah Teknikal JDT Alistair Edwards berkata pengiktirafan itu adalah perangsang bagi akademi itu agar bekerja lebih keras untuk mencapai kecemerlangan dan kejayaan.

“Kami gembira kerana akademi ini diiktiraf oleh FAM dan saya rasa semua orang dapat melihat manfaat daripada apa yang anda lakukan jika anda benar-benar menumpukan perhatian pada pembangunan belia,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian sijil dan plak Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM di ibu pejabat JDT di sini hari ini.

Ia disampaikan oleh Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam.

Dengan pengiktirafan dan penghormatan Ahli Emas Piagam SupaRimau, Akademi JDT bakal menikmati pelbagai faedah termasuk pentauliahan, pengiktirafan rasmi FAM.

Sementara itu, Stuart berkata lima kriteria perlu dipenuhi sebelum sesebuah akademi memenuhi syarat menjadi Ahli Emas Piagam SupaRimau FAM – kepimpinan, perancangan, kemudahan, pertandingan akar umbi dan pendidikan.

“JDT telah dinilai dalam lima kriteria utama dan saya bangga mengumumkan bahawa JDT memenuhi setiap kriteria ini.

“Bagi pihak Presiden FAM Datuk Hamidin Mohd Amin dan exco, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim atas komitmenya dalam mengembangkan sukan bola sepak di Malaysia dan hari ini adalah tanda pencapaian dan visi beliau untuk program pembangunan bola sepak akar umbi,” katanya. – BERNAMA

(Visited 365 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button