Bola SepakSukan

Dier lebih bernasib baik sempat ke tandas – Lineker

GARY Lineker sempat bergurau sewaktu menyaksikan insiden Eric Dier, semalam, dengan kejadian memalukan yang pernah menimpanya di atas padang ketika masih bergelar pemain.

Bintang Spurs, Dier terpaksa berlari keluar padang untuk ke tandas bagi ‘melunaskan hajat’ No. 2 ketika perlawanan Piala EFL menentang Chelsea sedang berlangsung.

Dia amat bernasib baik dapat kembali tepat pada waktunya apabila Erik Lamela menjaringkan gol penyamaan dan Tottenham menang menerusi penentuan sepakan penalti 5-4.

Dier sempat bergurau selepas perlawanan apabila menyatakan tandas sepatutnya diberikan anugerah Pemain Terbaik Perlawanan.

Lineker mungkin berharap dapat melakukan perkara sama sewaktu Piala Dunia 1990 di Itali, tetapi, malangnya dia melepaskan segala yang telah lama ditahannya di atas padang.


Bagaimanapun, pengacara Match of the Day itu tidak bersendirian melakukan perkara yang sepatutnya dibuat di dalam tandas.

Fabien Barthez
Bekas penjaga gol Manchester United itu amat terdesak untuk ke tandas sewaktu dia bermain bersama Marseille menentang Inter Milan pada 2007.
Tanpa mempedulikan mata yang memandang, dia mengosongkan pundi kencingnya di atas padang.

Ronaldo
Legenda Brazil itu amat terkenal kerana bijak memperdayakan pemain pertahanan lawan dengan gaya yang menarik.
Namun, dia tidak dapat mengelak daripada dirakam kamera sewaktu beraksi pada Sukan Olimpik 1996, walaupun Rivaldo cuba menutup pandangan sewaktu penyerang itu membuang air kecil di atas padang.

Sergio Ramos
Legenda Real Madrid dan Sepanyol, Ramos kelihatan tergesa-gesa meninggalkan padang sewaktu perlawanan La Liga menentang Eibar pada 2018.
Mengapa? Sebab ia sukar untuk dinyatakan berbanding cara Zinedine Zidane menjelaskan dengan bersahaja apabila jurulatih Real itu berkata: “Dia terbuang air besar sedikit.”

Jens Lehmann
Bekas penjaga gol Arsenal, Lehmann mempunyai cara yang licik untuk ‘melunaskan hajatnya’ sewaktu bermain untuk Stuttgart dalam Liga Juara-Juara pada 2009.
Ketika permainan sedang berlangsung, penjaga gol itu melompat di sebalik papan iklan sebelum membuang air kecil dan selepas itu, dia masuk kembali ke padang menyambung aksinya.

Fernando Navarro
Pemain tengah Sevilla, Navarro tidak langsung bermain sewaktu menentang Elche pada 2015, jadi, dia sepatutnya boleh sahaja pergi ke tandas.
Namun, pemain itu cukup malas untuk ke tandas, malah, dia sebaliknya membuang air kecil di dalam botol mineral sewaktu sedang duduk di bangku simpanan dan rakan sepasukannya bertindak melindungi perbuatannya itu.

Paul Gothard
Bekas penjaga gol Auckland City tidak langsung cuba menyembunyikan detik yang memalukan menimpa dirinya.
Bermain untuk kelab Congo, TP Mezembe dalam Piala Dunia Kelab FIFA 2009, pemain New Zealand itu dengan selamba melutut dan melepaskan hajatnya itu.

Jason Puncheon
Bekas pemain Southampton, Puncheon berdepan masalah serupa seperti Dier, apabila dia berlari keluar padang untuk membuang air besar ketika Saints beraksi menentang Everton pada 2013.
Sewaktu pemain itu menjaringkan gol menentang Manchester City dalam aksi berikut, Puncheon meraikan jaringannya dengan membuat gaya dia seperti menyapu punggungnya dengan tisu. – The Sun UK – SM

(Visited 24 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button