Sukan

Jay Chou sedia tangguh konsert untuk beri laluan perlawanan bola sepak

Penyanyi popular dari Taiwan, Jay Chou, 43, bersedia menangguhkan konsertnya yang akan diadakan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 15 Januari ini untuk memberi laluan kepada perlawanan bola sepak separuh akhir pertama Piala AFF 2022.

Perkara ini berlaku selepas media sosial Jay Chou diserang oleh penyokong Harimau Malaya yang tidak berpuas hati kerana 21,000 tiket tidak dapat dijual disebabkan persediaan pentas bagi menjayakan konsert itu.

Malah mereka turut menuntut kepada penyanyi rap terkenal itu menangguhkan konsertnya bagi memberi laluan kepada penyokong dan pemain Harimau Malaya yang akan menentang Thailand.

 

“Peminat bola sepak Malaysia, saya tahu anda memandang serius bola sepak. Saya boleh bekerjasama dan menangguhkan konsert, tiada masalah.


“Tetapi yang penting anda harus sampaikan kepada persatuan bola sepak atau penganjur tempat anda sama ada mereka membenarkan saya menangguhkan konsert.

“Saya tiada masalah dengan itu, saya cuma mahu menyanyi untuk peminat saya. Cuma saya harap apabila orang datang melihat konsert saya, mereka datang dengan hati yang gembira,” katanya di akaun Instagramnya.

Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mengeluarkan kenyataan bahawa penganjur konsert telah pun menempah stadium itu empat tahun lalu dan keadaan di stadium itu mustahil untuk diubah kerana pihak penganjur sudah membuat persiapan 50 peratus.

Namun beliau telah mengumumkan 14 lokasi di seluruh negara di mana skrin besar akan disediakan untuk peminat bola sepak menonton perlawanan itu.

Ini termasuk Dataran Merdeka di Kuala Lumpur, Laman MBPJ di Petaling Jaya, Dewan Bandaraya Kuantan di Pahang dan Mydin Putrajaya di Sarawak. – SM

 

‘Persetankan’ Konsert Jay Chou, kembalikan 21,000 kerusi untuk penyokong bola sepak!

(Visited 126 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button