Ekonomi

Bank Rakyat perluas kemudahan kewangan berteraskan kelestarian

BANK RAKYAT dengan kerjasama pembekal panel solar kini memperluaskan tawaran kemudahan produk Pembiayaan Peribadi-i untuk pembelian dan pemasangan sistem panel solar. Selain itu, pelanggan juga boleh melakukan pembelian panel solar melalui Kad Kredit-i Bank Rakyat.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dr. Mohammad Hanis Osman berkata, “Inisiatif ini merupakan salah satu usaha Bank tersebut untuk membantu memacu peralihan negara kepada ekonomi tenaga bersih, seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25).”

Menurut Dr. Mohammad Hanis, menerusi inisiatif ini Bank Rakyat bekerjasama dengan lima syarikat pembekal, antaranya Voltago Solar Sdn Bhd, Green Energy Generation Sdn Bhd, UZMA Enviroenergy Sdn Bhd, Suria Infiniti Sdn Bhd dan Voltek Energy Sdn Bhd bagi memudahkan proses pembelian dan pemasangan sistem panel solar di kediaman pelanggan.

“Teknologi dan sumber tenaga merupakan antara elemen yang saling berkait rapat dalam merealisasikan agenda pemeliharaan dan pemuliharaan kelestarian alam sekitar. Justeru, usaha untuk mewujudkan kemudahan kewangan patuh Syariah merupakan inisiatif yang tepat untuk menggalakkan penggunaan tenaga hijau dalam kalangan masyarakat,” ujar beliau dalam ucapan pelancarannya semasa Majlis Pelancaran Inisiatif Kelestarian Bank Rakyat yang diadakan semalam.

bank rakyat

Turut menghadiri majlis tersebut, Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia, Dato’ Hamzah Hussin dan Ketua Pegawai Strategi SEDA Malaysia, Mohammad Nazri Mizayauddin.

Di samping itu, Bank Rakyat turut menawarkan Pembiayaan Kenderaan-i bagi pembelian kenderaan elektrik hibrid, kenderaan elektrik hibrid plug-in, kenderaan elektrik berasaskan bateri termasuk kenderaan elektrik sel bahan api.

Selain itu, Bank Rakyat juga menyediakan Pembiayaan Perumahan-i bagi pembelian hartanah atau kediaman yang mendapat pengiktirafan status bangunan hijau (green building) dari Green Building Index (GBI) atau GreenRe yang merupakan salah satu agensi akreditasi hijau utama di Malaysia.

Sementara itu, Dr. Mohammad Hanis berkata, “Dalam tempoh lima tahun akan datang, Bank Rakyat akan terus menumpukan lebih perhatian kepada penerapan elemen teras kemampanan dari segi ekonomi, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam operasi perniagaan Bank serta menggerakkan amalan perniagaan ke arah yang bukan sahaja memacu keuntungan tetapi juga meningkatkan status komuniti dan memelihara alam sekitar.”

Artikel berkaitan > Bank Rakyat lanjut tawaran kadar keuntungan 2.15% setahun sehingga 31 Januari 2023

(Visited 603 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button