Politik

Hebahan SMS GOV hanya untuk kepentingan umum

MENTERI Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, melalui agensi kerajaan, hanya pemakluman mengenai soal kepentingan umum akan diteruskan dalam hebahan mesej khidmat pesanan ringkas (SMS).

Beliau berkata, agensi-agensi juga boleh menggunakan cara ini untuk memberi maklumat kepada masyarakat awam.

“Sebagai contoh ketika musim banjir ataupun musim hujan yang lebat.

“Jadi pemakluman yang ada berkaitan kepentingan umum, kita perlu teruskan tetapi mungkin tentang beberapa perkara lain, kita perlu kaji semula,” katanya selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra bersama Usahawan Pepper Labs.

Berhubung aduan orang ramai mengenai mesej ‘GOV’ mempertahankan kerajaan, Fahmi berkata: “Kita sedang membuat semakan untuk mendapatkan maklumat dan akan mengkaji semula proses penyebaran mesej yang dilakukan sebelum ini.


“Saya rasa kita perlu menetapkan semula hebahan mesej itu supaya menumpukan kepada perkara yang mustahak seperti bencana alam dan sebagainya.”

Baru-baru ini, beberapa mesej mempertahankan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah mencetuskan kecaman terhadap Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang menyebarkan naratif politik kepada orang ramai.

Antara mesej promosi Kerajaan Perpaduan yang diterima pengguna seperti kandungan menyifatkan Kerajaan Perpaduan sebagai langkah penyelesaian berlandaskan Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang.

Dalam pada itu, tular juga satu mesej yang menyifatkan kerajaan pimpinan kini adalah diwakili oleh Ahli Parlimen pelbagai bangsa dan agama serta terdiri daripada mereka yang mempunyai kepakaran dan pengalaman.

Sebelum itu, beberapa Ahli Parlimen dari Pakatan Harapan (PH) pernah mengkritik SMS yang dihantar kepada umum melalui agensi kerajaan bertujuan menyebarkan propaganda ketika pimpinan kerajaan terdahulu.

Hebahan SMS melalui ID penghantar ‘GOV’ dikhususkan bagi membuat pesanan khidmat awam (PKA) berkenaan inisiatif oleh kementerian dan agensi kerajaan yang terlibat. – FMT – SM

(Visited 36 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button