Sukan

MAFA harap dapat beraksi di Liga Super musim depan

Persatuan Bola Sepak Melaka (MAFA) akan berunding dengan Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung kedudukan pasukan bola sepak itu untuk kembali semula ke persada Liga Super musim depan.

Presidennya, Datuk Ab. Rauf Yusoh berkata, ahli jawatankuasa baharu yang dipilih pada Kongres Tahunan Ke-67 MAFA diberi mandat untuk berunding dengan MFL dalam
masa terdekat ini.

“Insyallah ahli jawatankuasa baharu yang dipilih akan berunding dengan MFL mengenai kedudukan pasukan bola sepak Melaka agar kita dapat kembali beraksi dalam saingan Liga Super musim depan.

“Apa sahaja keputusan rundingan itu nanti kita akan lihat apa syarat-syarat yang dikemukakan oleh MFL untuk menentukannya.

“Saya harap moga Melaka akan kembali semula ke Liga Super kerana ini penting untuk kerangka baru bola sepak negeri,” ujarnya dalam sidang akhbar selepas Kongres Tahunan Ke-67 MAFA di sini hari ini.

Melaka United FC disingkirkan beraksi dalam Liga Malaysia musim ini selepas MFL menolak rayuan Melaka United termasuk tidak memberikan lesen kebangsaan.

Jawatankuasa Rayuan Pelesenan MFL mengekalkan keputusan dibuat First Instance Body (FIB), 12 Oktober tahun lalu sekali gus menyaksikan Melaka beraksi dalam Liga M3 musim ini.

Pada kongres MAFA hari ini, Ab. Rauf yang juga Ketua Menteri menang tanpa bertanding jawatan Presiden bagi penggal 2023/2026.

Bekas Ketua Pegawai Eksekutif Melaka United FC, Datuk Mohd. Saiful Mat Sapri adalah muka baharu yang dipilih apabila menang tanpa bertanding jawatan Timbalan
Presiden.

Ia berikutan penyandangnya, Datuk Mohd. Yusoff Madi yang juga Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tidak mempertahankan jawatan tersebut sekali gus memberi laluan mudah kepada Mohd. Saiful.

Bagi jawatan Naib Presiden pula penyandangnya, Datuk Khairi Anuar Ahmad mengekalkan jawatan itu selepas turut menang tanpa bertanding.

Tiga lagi muka baharu yang dipilih ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rim, Datuk Khaidhirah Abu Zahar, Datuk Fadzil A. Bakar dan C. Revindran.

Lapan barisan Exco yang terpilih membabitkan tiga penyandang dan lima muka baharu yang dipilih terdiri daripada Mohd. Azizi Shahril Abd. Razak Khalim, Jezlee Pit
dan Dr. Siti Faidul Maisarah Abdullah.

Lima muka baharu terdiri daripada Dr. Shankar Gunarasa, Syahrul Nizam Shamsuddin, Melvin Tan Ching Yang, Ahmad Khairul Mohd. Noor dan Mohd. Fairuz Azwad Mohd. Zauwawi.

Mengulas mengenai barisan kepimpinan baharu yang dipilih Ab. Rauf berkata, misi utama adalah untuk mengukuhkan kedudukan bola sepak Melaka dari pelbagai sudut.

“Kita akan cuba mendapatkan sumbangan daripada pelbagai pihak bagi mengukuhkan kedudukan kewangan MAFA.

“Saya akan cuba pulihkan bola sepak Melaka terutama menjelang sambutan ke-100 tahun persatuan ini tahun depan,” ujarnya. – SM

(Visited 38 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button