Sukan

Hafizh Syahrin-tiada yang patah, hanya cedera ringan

Pelumba Itali kesal, doa Hafizh cepat sembuh

MENYAKSIKAN kemalangan yang menimpa Hafizh Syahrin Abdullah semalam memang mengerikan apabila dia tercampak jauh, namun umpama pepatah Melayu ‘berpantang maut sebelum ajal’. Begitulah yang terjadi apabila pelumba Moto2 negara itu tidak mengalami sebarang kecederaan serius.

Hafizh dalam kenyataannya kepada media sebaik pulang daripada hospital semalam berkata, dia berada dalam keadaan baik dan amat bertuah kerana tiada yang patah pada anggota tubuhnya.

Menurutnya, kemalangan yang menimpa dirinya itu memang mengerikan dan akibat daripada insiden tersebut, dia terpaksa menanggung kesakitan yang amat sangat.

“Saya berasa sakit di kedua-dua belah kaki saya. Saya berasa seperti ada kecederaan ligament. Entah… susah hendak saya jelaskan.

 “Kaki saya tidak patah tetapi rasa macam patah kaki apabila saya cuba berjalan. Sekarang saya terpaksa mengunakan topang tangan untuk menyokong saya berjalan.

“Saya akan berusaha untuk pulih secepat mungkin. Saya akan lihat dahulu sama ada saya boleh menunggang motosikal untuk perlumbaan minggu depan (hujung minggu ini) ataupun tidak,” katanya.

Hafizh disahkan oleh pasukan perubatan MotoGP hanya mengalami cedera ringan dengan lebam pada bahagian pelvisnya dan dia kini telahpun dibenarkan keluar selepas dikejarkan ke hospital berhampiran semalam.

Dalam perlumbaan Grand Prix Austria di Red Bull Ring itu, Hafizh, 26, gagal mengelak motosikal pendahulu kejuaraan motosikal dunia bagi kelas Moto2, Enea Bastianini yang melintang di tengah trek sehingga menyebabkan dia terpelanting.

Ekoran insiden tersebut, perlumbaan Moto2 terpaksa dihentikan seketika dan bendera merah dikibarkan bagi membolehkan pekerja di litar membersihkan serpihan motosikal yang bertaburan.

Bastianini yang berasal dari Itali menerusi kicauan dalam akaun Twitter miliknya melahirkan rasa kesal terhadap insiden yang menimpa Hafizh.

“Saya sangat menyesal dengan apa yang berlaku. Saya doakan (Hafizh) Syahrin pulih dengan baik. Sukar untuk mencari kata-kata yang tepat, tetapi saya masih berharap dan menantikan perlumbaan seterusnya,” katanya.

Selain Hafizh dan Bastianini, pelumba lain yang turut terjatuh selepas terlanggar serpihan motosikal yang berkecai adalah pelumba Idemitsu Honda Team Asia, Andi Farid Izdihar dan Edgar Pons daripada pasukan Federal Oil Gresini. – SM

 

(Visited 378 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button