Sukan

Gerrard beri penghormatan kepada Houllier, individu yang melantiknya selaku kapten Liverpool

STEVEN Gerrard telah memberikan penghormatan kepada bekas pengurus Liverpool, Gerard Houllier yang meninggal dunia pada usia 73 tahun.

Houllier merupakan individu penting yang membentuk karier Gerrard, selepas dia berjaya menempatkan dirinya dalam pasukan Merseyside itu, dan pada Oktober 2003 mendiang telah membuat keputusan melantik bintang tengah Reds itu sebagai kapten baharu pada usia hanya 23 tahun.

Sejak itu, Gerrard menjadi pemain penting dalam skuad bimbingan Houllier dengan kekuatan tenaganya dia memainkan watak penting dari bahagian tengah dan berjaya membantu Liverpool mencipta treble setelah memenangi Piala FA, Piala Liga dan Piala UEFA pada 2001.

Houllier kemudiannya meninggalkan Liverpool pada musim panas 2004, tetapi setahun selepas itu Gerrard menjulang trofi Liga Juara-Juara di Istanbul setelah Rafael Benitez mengambil alih selaku pengurus.

Ikon Liverpool itu juga kini bergelar pengurus bersama Rangers, yang diterajuinya sehingga berjaya menghuni kedudukan teratas Liga Perdana Scotland, musim ini, dan Gerrard sebelum ini pernah menyatakan Houllier menjadi individu penting dalam mempengaruhinya untuk menjadikan kejurulatihan sebagai karier.

“Amat mendukacitakan apabila mendengar berita bekas pengurus saya, Gerard Houllier telah meninggal dunia.

“Saya tidak akan sesekali melupakan apa yang beliau telah lakukan bagi membantu karier saya. Berehatlah dengan tenang Bos,” tulis Gerrard menerusi Instagram.

Sementara itu, bekas rakan seperjuangan yang juga merupakan bintang Liverpool, Michael Owen dan Jamie Carragher turut memberikan ucapan penghargaan kepada Houllier.

Owen menerusi kicauan dalam Twitter berkata: “Amat sedih apabila mendengar bekas bos saya, Gerard Houllier telah meninggal dunia. Beliau merupakan seorang pengurus yang hebat dan seorang lelaki yang penyayang.”

Carragher pula dalam Twitter menjelaskan: “Sangat mendukacitakan mendapat khabar berita tentang Gerard Houllier, baru sebulan lalu saya menghubunginya untuk menguruskan tentang kedatangannya ke Liverpool.

“Saya amat menyayangi lelaki ini, dia telah mengubah saya sebagai individu dan juga sebagai pemain serta membantu LFC memenangi trofi. RIP Bos.”

Houllier, meninggal dunia, semalam, selepas dia menjalani pembedahan jantung, baru-baru ini, tetapi pemergian mendiang telah meninggalkan satu legasi yang hebat di Liverpool. – Mirror – SM

(Visited 102 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button