Nasional

Inovasi UPSI naiktaraf aplikasi MyQRAsset, selaras pengurusan aset dan inventori secara pintar

Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini melancarkan aplikasi MyQRAsset, sebuah teknologi pintar pengurusan aset yang melibatkan proses verifikasi aset dan inventori pusat pengajian tersebut.

Md Amin (tengah), melancarkan aplikasi MyQRAsset sambil diperhatikan Ahli JKPU UPSI di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning UPSI

Menurut Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff, aplikasi yang dibangunkan sendiri Pusat Teknologi Maklumat & Komunikasi (PICT) dan Jabatan Bendahari UPSI menggunakan pangkalan data sumber terbuka postgreSQL.

“UPSI amat berbangga apabila memanfaatkan sebaik-baiknya kepakaran warga kerjanya membangunkan aplikasi yang membantu proses pelaksanaan verifikasi aset dan inventori dengan lebih pantas dan lancar, memberi perkhidmatan kewangan dan perakaunan terunggul dalam merealisasikan visi dan misi Universiti,” jelasnya ketika merasmikan aplikasi tersebut semasa sesi santun Jawatankuasa Pengurusan Universiti (JKPU) bersama Jabatan Bendahari di Dewan Konvensyen, Bangunan E-Learning UPSI.

Menurut Md Amin lagi, data yang diperoleh di dalam aplikasi ini seragam dan tepat berhubung dengan data yang terdapat di pangkalan sistem MyFIS Neo, sebuah sistem maklumat kewangan bersepadu UPSI yang berintegrasi dan menyeluruh bermula daripada proses pengurusan bajet sehingga ke laporan kewangan.

“Aplikasi ini sangat fleksibel dan mudah digunakan menerusi peranti telefon pintar dan tablet, mampu berfungsi secara dalam talian mahupun secara luar talian namun masih dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan tinggi yang boleh diakses oleh pegawai verifikasi inventori dan aset yang dilantik sahaja,


“Inovasi pintar ini bukan saja memberi manfaat terhadap pengurusan kewangan yang lebih cekap, malah memberi penjimatan lebih RM50 ribu ringgit kepada pengurusan jika tidak dibangunkan oleh pihak vendor luar,” jelasnya lanjut.

Menurut Md Amin lagi, aplikasi ini telah diuji dan diterima pakai penggunaannya oleh 238 pegawai verifikasi bersedia untuk diluaskan lagi fungsi kepada aspek penggunaan aset yang lain.

(Visited 34 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button