Nasional

Polis, SKMM siasat ‘Skala Gred SPM’

Polis akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi menyiasat laporan ‘Skala Gred SPM’ yang didakwa palsu dan tular di media sosial kononnya daripada Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM).

Memetik laporan Berita Harian, Ketua Polis Daerah Putrajaya, ACP Mohd. Fadzil Ali berkata, siasatan kes itu sedang giat dilakukan daripada setiap sudut.

“Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Putrajaya menerima laporan berkaitan perkara itu daripada pihak LPM malam tadi.

“Kita masih siasat dan akan bekerjasama dengan SKMM dalam hal berkenaan kerana maklumat itu tular di media sosial,” katanya.

Semalam, Kementerian Pendidikan (KPM) menafikan ‘Skala Gred SPM’ yang tular di media sosial adalah daripada LPM.


KPM dalam kenyataan dipetik berkata, ‘Skala Gred SPM’ itu menggambarkan seolah-olah ia gred pemarkahan sebenar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 serta boleh mengelirukan orang ramai terutama ibu bapa dan calon peperiksaan itu.

Kenyataan itu menyebut dakwaan berkenaan mencemar imej, kewibawaan dan kredibiliti LPM sebagai badan pentaksiran negara dan menggugat ketenteraman awam.

Sementara itu, Pengerusi SKMM, Dr. Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek ketika dihubungi berkata, siasatan kes itu akan dimulakan polis.

“Sama ada LPM ada buat laporan kepada SKMM, saya kena periksa dahulu,” katanya. – SM

(Visited 52 times, 1 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button