Nasional

Atasi masalah mendapan di jeti Kuala Perlis, kerja pergerukan dilaksanakan

TELAH tular di sosial media mengenai feri Langkawi-Kuala Perlis yang tidak dapat belayar pada 2 Februari lalu mengikut jadual yang ditetapkan yang disebabkan oleh air alur pelayaran Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis telah surut di bawah paras 1.6meter.

Perkara ini telah menyebabkan feri-feri yang beroperasi hanya boleh merapat dan belayar apabila air pasang dan telah menyebabkan kelewatan ketibaan feri dari jeti Kuala Perlis dan seterusnya menyebabkan impak kesesakan di Terminal Feri Penumpang Kuah, Langkawi.

Justeru itu, Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) melalui agensinya, Jabatan Laut Malaysia (JLM) telah mengambil langkah serta merta untuk melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja pengerukan melalui Perolehan Darurat untuk tujuan pengerukan di lembangan (basin) jeti.

Kerja-kerja pengerukan tersebut telah mula beroperasi pada 6 Februari 2022 dan akan berakhir pada 20 Februari 2022.

Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong, JLM telah melaksanakan kerja-kerja pergerukan alur pelayaran dengan panjang alur yang dikeruk adalah 5.6kilometer pada kedalaman 2meter Chart Datum (CD) di Jeti Kuala Perlis semenjak bulan Ogos 2018 hingga Mac 2019 dengan kos keseluruhan berjumlah RM13.8 juta bagi mengatasi masalah mendapan yang sering berlaku di terminal tersebut.

“Kerja-kerja pergerukan secara berkala yang dilaksanakan oleh JLM bukan sahaja telah meningkatkan keselamatan pelayaran feri penumpang, nelayan dan pengusaha bot di perairan tersebut, malah telah memberi manfaat secara langsung kepada penduduk setempat bagi mengatasi fenomena air pasang besar yang menyebabkan limpahan air laut dan berlakunya banjir di Kuala Perlis dan kawasan setempat.

“Secara dasarnya, projek pengerukan ini dapat merancakkan pelbagai sektor ekonomi serta meningkatkan taraf sosio-ekonomi penduduk setempat, di samping memastikan rantaian logistik ke Pulau Langkawi tidak terputus,” katanya.

Beliau menambah, kaedah dan Teknik pergerukan telah mengalami pelbagai revolusi termasuk memperhalusi kaedah ‘sendiment trap’ untuk dilaksanakan.

Dalam pada itu, MOT telah melantik Jabatan Pengairan dan Saliran untuk melaksanakan Kajian Penyelesaian Yang Lebih Mampan untuk Menangani Masalah Mendapan Yang Mengganggu Alur Pelayaran Dan Basin Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis. Kajian ini dijadualkan siap pada 28 Februari 2022 dan dijangka akan menghasilkan syor-syor penambahbaikan yang dapat diguna pakai oleh kerajaan.

“Bagi mengatasi kadar pemendapan yang tinggi, Projek Kerja-Kerja Pengerukan di Alur Pelayaran dan Lembangan (basin) Terminal Feri Penumpang Kuala Perlis telah disenaraikan dan diluluskan sebagai keutamaan projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12.

“JLM kini dalam proses menjalankan kerja pengerukan yang lebih menyeluruh meliputi pengerukan mendalamkan di lembangan (basin) hadapan Jeti Kuala Perlis dan juga alur pelayaran sepanjang 9 km pada kedalaman 4.0meter Chart Datum (CD) dan 70 eter lebar,” katanya.

MOT juga yakin kerja-kerja dapat diselesaikan dalam kadar seberapa segera demi memastikan kelancaran perkhidmatan feri beroperasi untuk keselesaan serta kesinambungan pergerakan pengangkutan maritim dalam sektor Langkawi-Kuala Kedah-Kuala Perlis. – SM

 

(Visited 457 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button