Media massaNasional

Lesen Finas untuk ‘Tik Tok’: Peguam saran Saifuddin dapat pandangan tepat

MENTERI Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah dinasihatkan agar mendapatkan pandangan undang-undang yang tepat berhubung penerbitan bahan-bahan video di media sosial.

Menurut peguam Haniff Khatri, kenyataan Saifuddin bahawa pengguna media sosial perlu memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) sebelum menerbitkan filem di platform media sosial atau saluran tradisi adalah salah.

Haniff berkata, Akta Finas 1981 adalah untuk memantau dan meregulasikan bidang perfileman yang merangkumi para penerbit, para pengedar dan para penyiar karya-karya dalam bidang perfileman, samada dalam bentuk filem, iklan mahupun dokumentari, pada ketika itu iaitu 1981.

“Pada ketika itu juga, lazimnya industri perfileman adalah dalam bentuk siaran di panggung wayang mahupun kaca televisyen.

“Belum pun merangkumi siaran melalui mana-mana bentuk media sosial lain yang wujud tatkala kini, iaitu melalui talian internet komputer mahupun telefon bimbit, ataupun apa-apa bentuk alat komunikasi lain yang ada di zaman ini,” kata Haniff.

Jelas beliau, dengan berleluasanya sistem penggunaan komunikasi talian internet maka satu akta khusus lain telahpun digubal iaitu Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (AKTA 588).

Akta tersebut bagi tujuan meregulasi penggunaan sistem multimedia yang merangkumi komunikasi individu melalui talian internet yang kemudiannya memudahkan para individu memuat naik rakaman video peribadi mahupun acara dan aktiviti hiburan peribadi alternatif seperti Instagram dan TikTok.

Datuk Saifuddin Abdullah

Menurut Haniff, sekiranya Saifuddin berhasrat untuk mewujudkan apa-apa sekatan terhadap media sosial di sisi undang-undang maka beliau wajib terlebih dahulu perlu mengusulkan Rang Undang-undang Pindaan sama ada terhadap AKta 244 ataupun Akta 588 ataupun kedua-duanya sekali

“Ianya adalah juga dikhuatiri bahawa dalam kegelojohan Saifuddin untuk mewujudkan keperluan sebarang bentuk “lesen” ataupun “kebenaran” tambahan, selain daripada syarat-syarat yang sedia ada di bawah Akta 588, untuk mana-mana individu melayari sistem komunikasi dan multimedia yang sedia ada, ianya boleh dianggap sebagai usaha Kerajaan untuk mengadakan pembendungan salah hak kebebasan bersuara, iaitu satu bentuk hak asasi yang dijamin dan dipelihara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan,” jelas Haniff.

Saifuddin dalam Dewan Rakyat hari ini menegaskan, semua penerbit filem wajib memohon Lesen Pengeluaran Filem serta Surat Perakuan Penggambaran (SPP) sebelum menerbitkan filem masing-masing sama ada di platform media sosial atau saluran tradisi.

Beliau berkata, keperluan berbuat demikian merangkumi semua yang terbabit dalam penerbitan penggambaran, tidak kira sama ada mereka dari agensi media arus perdana atau pun media personal.

Saifuddin berkata, merujuk kepada Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) 1981 Seksyen 22 (1), tiada seseorang pun boleh mengambil bahagian dalam mana-mana aktiviti mengeluar, mengedar dan mempamer filem-filem atau mana-mana gabungan aktiviti-aktiviti yang dinyatakan dalam Seksyen 21 (1) melainkan jika suatu lesen dikeluarkan yang memberi kuasa kepadanya untuk berbuat demikian,“ katanya di Dewan Rakyat, hari ini.-SM

(Visited 145 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button