Politik

Gagal haramkan UMNO beri semangat untuk terus ‘menggasak’

KEGAGALAN 16 bekas ahli UMNO untuk mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi perisytiharan UMNO sebagai tidak sah memberi suntikan semangat kepada parti itu.

Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, UMNO akan terus bertahan dan akan kembali mengasak dengan lebih hebat.

“Alhamdulillah. Syukur ke hadrat ilahi. Usaha mereka mengharamkan UMNO tidak kesampaian.
Mereka gagal apabila Mahkamah Persekutuan menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO terbabit.

“Jadikan ini satu suntikan semangat baharu kepada seluruh jentera, ahli dan penyokong UMNO.
Parti keramat terus bertahan dan insya-Allah akan kembali mengasak dengan lebih hebat,” katanya.

UMNO katanya perlu untuk bersama-sama dengan Barisan Nasional (BN) untuk bangkit dalam Pilihan Raya Umum-15 demi membela nasib rakyat dan negara bangsa.

Ahmad Zahid juga meminta supaya ahli parti itu tidak akan melupakan 16 bekas ahli UMNO yang telah membawa kes berkenaan ke mahkamah.

Selain itu beliau turut mengingatkan kepada ahli UMNO supaya tidak ada lagi yang menjadi Si Kitol iaitu watak pembelot kepada bangsa dalam sejarah tanah air.

“Kita jangan lupa siapa 16 mereka ini. Janganlah ada lagi dalam kalangan kita seperti mereka. Kita mesti peka juga siapa di belakang mereka. Supaya kita tahu yang mana intan yang mana kaca.

“Kepada seluruh ahli UMNO. Bersatulah kita, jangan jadi Si Kitol seperti dalam sejarah lampau,” ingat Ahmad Zahid.

Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed telah menolak permohonan 16 bekas ahli UMNO yang didakwa bertentangan dengan Perlembagaan UMNO.

Menurut salah seorang peguam yang mewakili UMNO dalam mengendalikan kes ini, Datuk Abu Bakar Isa Ramat, keputusan Mahkamah Rayuan telah dikekalkan dan mahkamah telah menyatakan bahawa proses pemilihan yang dibuat pada tahun 2018 adalah sah dan terpakai.

Keputusan tersebut adalah keputusan sebulat suara dari lima Hakim, yang dipengerusikan oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Azahar Mohamed.

menurut mahkamah, 16 orang yang membawa kes itu bukan lagi ahli UMNO mengikut Perlembagaan UMNO Fasal 20.7.

Begitu juga Seksyen 18C Akta Pertubuhan tidak bertentangan dgn artikel 121 Perlembagaan Persekutuan. Bahawa apa jua keputusan parti politik tidak boleh dicabar di mahkamah.

Dalam penghakiman juga, mahkamah berkata isu semakan kehakiman juga telah menjadi akademik kerana UMNO telah melaksanakan proses pemilihan pada Jun 2018 dan jelas bahawa adalah menjadi satu polisi awam, bahawa mahkamah tidak akan mencampuri urusan parti politik.

Peguam yang mewakili UMNO ialah Datuk Hafarizam Harun manakala mewakili 16 bekas ahli UMNO ialah Hanif Khatri dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) diwakili Shamsul Bolhasnan.-SM

(Visited 163 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Baca Juga Artikel ini
Close
Back to top button