Rencah Hidup

Ebit Lew cari ‘rumah baru’ untuk anjing, kucing Mak Intan

KIRA-kira 300 ekor anjing dan 130 kucing yang pernah dipelihara Allahyarhamah Mak Intan atau Halijah Idris akan kehilangan tempat tinggal dalam tempoh seminggu.

Ini berikutan tanah yang menjadi tempat perlindungan haiwan itu selama ini akan diambil kembali oleh pihak berkuasa pada 21 Februari ini untuk dibangunkan.

Pendakwah bebas Ebit Lew yang mengetahui kesukaran yang dihadapi oleh waris Mak Intan untuk mencari tempat perlindungan baharu untuk haiwan terbiar itu tampil untuk menawarkan bantuan.

Beliau berhasrat untuk menyewa gudang atau membeli tanah untuk menempatkan kesemua haiwan malang tersebut.

“Doakan yer. Ada seminggu lagi 300 ekor anjing dan 130 kucing tiada tempat tinggal tetap lagi. Saya nak sponsor gudang atau belikan tanah untuk semua anjing dan kucing ini. Saya tengah cari gudang atau tanah area Alor Setar.

“Kasihan jer tengok 300 ekor anjing dan 130 kucing. Mak Intan baru je meninggal dunia minggu lepas kerana kanser. 30 tahun kutip anjing dan kucing sakit. Ubati, beri makan, dan tempat tinggal. Ramai yang hantar pada mereka,” kata Ebit.

Beliau berkunjung ke tempat perlindugan haiwan terbiar yang diusahakan oleh Allahyarham Mak Intan hari ini.

Kelihatan Ebit turut memberikan anjing dan kucing terbiar itu makanan.

“Kini seminggu Mak Intan dah tiada anaknya menyambung usaha ibubapa mereka. Beri makanan untuk anjing dan kucing ini.

“Tanah ini akan diambil kembali untuk pembangunan 21 Feb ini. Tujuh hari lagi. Bandaraya ada bagi kawasan untuk disewa bagi tempoh enam bulan di tempat lain dengan syarat tertentu.

“Tadi berbincang dengan keluarga arwah Mak Intan. Baik anak-anak Mak Intan. Terpilih buat kerja begini. Dah lewat petang. Saya nak sponsor tempat bagi semua anjing dan kucing ini

“Terima kasih semua yang menyokong perjuangan Mak Intan dan keluarga Terima kasih semua pimpinan masyarakat dan masyarakat sekitar,” katanya.

Mak Intan yang merupakan pemilik pusat jagaan ratusan kucing dan anjing, Pak Mie Shelter menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah pada 10 Februari lalu.

Allahyarhamah Halijah, 73 atau lebih dikenali sebagai Mak Intan dilaporkan meninggal dunia akibat menghidap kanser ovari.

Media sebelum ini melaporkan, Mak Intan yang menguruskan pusat perlindungan haiwan terbiar di sini sanggup menghabiskan masa 24 jam semata-mata untuk menjaga sekurang-kurangnya 700 kucing dan anjing jalanan

Mak Intan sempat berpesan kepada anak-anaknya untuk menjaga haiwan terbabit.-SM

(Visited 570 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button