Politik

Selagi UMNO mahu bangkit, selagi itu UMNO belum tewas – Mohamad

KUALA LUMPUR – UMNO belum tewas walaupun telah 18 bulan parti terbesar orang Melayu itu kehilangan kuasa.

Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, UMNO hanya tewas apabila ahlinya telah benar-benar berputusan asa.

“Kita belum tewas, Saudara Saudari sekalian! Selagi kita, mahu bangkit! Kerana, tewas yang sebenar-benarnya adalah, apabila kita berputus asa dan enggan bangun kembali setelah tersungkur.

“Lalu, bekerja keraslah untuk UMNO dan Malaysia ini. Ingatlah, perjuangan dan kerja keras sesuatu bangsa adalah, satu-satunya jalan untuk mengangkat darjat bangsanya, ke tingkat yang lebih tinggi dan mulia.

“Semoga dengan kerja keras ini, bahtera yang bernama Malaysia akan sama-sama kita perbaiki, demi kebaikan semua penumpangnya,” kata Mohamad.

Mohamad berkata demikian dalam ucapan ucapan Perasmian Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO 2019 malam ini.

Mohamad juga mengajak semua perwakilan untuk bersama-sama, melakukan tindakan yang paling radikal, bagi mengembalikan UMNO ke peranannya yang sebenarnya iaitu menjadi nakhoda utama bahtera yang bernama Malaysia.

Menurut Mohamad, UMNO tidak boleh terus susut dan menjadi tanggungjawab parti itu untuk mengemudi bahtera Malaysia.

“Jika layarnya koyak, atau dindingnya reput, atau lantainya bocor, maka kita wajib membaikinya. Dengan kudrat yang kuat, dengan pemikiran terbaik, dan dengan sikap dan niat yang betul. Secara bersungguh-sungguh, tanpa jemu.

“Harga perjuangan kita, ialah jiwa dan raga. Dengan darah dan nyawa. Jika kita berani, untuk berdaya tahan seperti itu, maka demikianlah ukuran sebenar, seorang pejuang bangsa yang dihormati.” tegas Mohamad.-SM

 

 

(Visited 47 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button