fbpx
Politik

Kerajaan pintu belakang hanya akan rugikan UMNO

PUCUK pimpinan UMNO mesti menolak apa juga bentuk kerajaan pintu belakang kerana ia hanya akan merugikan parti.

UMNO perlu bersikap gentleman dengan mengambil semula kerajaan melalui pilihan raya.

Wakil Pergerakan Pemuda UMNO, Johari Yazid berkata, Pemuda berharap agar janganlah ada lagi individu-individu parti yang mencuba menjadi ‘hero’ dan membuat spekulasi untuk menjadi kerajaan melalui rundingan pintu belakang.

“Kalau kami Pemuda sedia berjuang disaat UMNO kalah kenapa yang di atas merasa risau sangat?

“Biar kita bertarung sebagai anak jantan di tengah gelanggang berbanding menjadi pondan main belakang,” katanya ketika membahas Usul Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung UMNO 2019 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini.

Johari yang juga Penolong Bendahari Pemuda UMNO menjelaskan rakyat sebenarnya mahukan kerajaan yang dipilih oleh rakyat menjadi kerajaan yang jujur dan mempertahankan agenda rakyat.

“Kegagalan kerajaan hari ini menjadikan rakyat kini mahukan UMNO kembali menjadi kerajaan dan menginginkan ‘wajah baru dan penjenamaan baru’, maka kita teruskan gerak kerja memenangi hati rakyat, kita canangkan manifesto kemenangan kita kepada kepada rakyat. Pemuda yakin kita mampu memenangi hati rakyat,” katanya.

Dalam pada itu Johari menjelaskan mengenai ekonomi golongan muda dan secara keseluruhannya.

“Pemuda setiap hari mendesak dan terus menggasak kerajaan hari ini agar dapat menyediakan pelbagai peluang kerjaya kepada anak muda seperti yang telah dicanangkan oleh menteri ’tisu koyak’.

“Oleh itu, UMNO perlu menyusun strategi untuk merancang memperkukuhkan ekonomi rakyat khususnya anak muda bagi mewujudkan keseimbangan serta keadilan dalam semua aspek,” tegasnya

Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button