fbpx
Nasional

COVID-19: Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat RM250 bilion

KERAJAAN memperuntukan RM250 bilion bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat atau PRIHATIN untuk merangsang ekonomi dan membantu rakyat dalam menghadapi cabaran yang dicetuskan oleh wabak COVID-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin berkata, daripada jumlah tersebut hampir RM128 bilion disalurkan untuk melindungi kebajikan rakyat.

RM100 bilion diperuntukkan untuk menyokong  perniagaan termasuk Perusahan Kecil dan Sederhana (PKS) dan RM2 bilion untuk memperkukuh ekonomi negara.

Manakala sebanyak RM20 bilion telah diumumkan dalam pakej rangsangan sebelum ini.

“Pakej PRIHATIN ini akan menyediakan bantuan segera untuk meringankan beban yang ditanggung oleh anda semua. Sama ada anda seorang nelayan di Kukup, Johor atau pekebun kecil di Jeli, Kelantan. Anda pengusaha chalet di Cherating atau penarik beca di Melaka, peniaga pasar malam di Kuala Lumpur atau pasar tamu di Kundasang.


“Anda semua akan menikmati manfaat daripada pakej rangsangan ekonomi yang peduli rakyat ini. Seperti yang saya sebutkan, tiada golongan yang akan tercicir. No one will be left behind. Keutamaan kerajaan pada waktu ini ialah untuk membendung penularan wabak COVID-19,” kata Muhyiddin dalam Pengumuman Khas sebentar tadi.

BACA:

Muhyiddin berkata, pakej PRIHATIN ini merupakan manifestasi Kerajaan yang mengambil berat akan kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

Katanya, kerajaan akan membuat suntikan fiskal langsung berjumlah RM25 bilion untuk membantu mengurangkan beban rakyat dan pemilik perniagaan dalam mengharungi cabaran ekonomi yang
sukar ini.

Strategi dan langkah yang akan dilaksanakan itu katanya, adalah berdasarkan kepada keupayaan fiskal semasa dan ketersediaan mudah tunai pasaran kewangan domestik yang mencukupi.

“Kerajaan akan sentiasa memastikan akaun semasa fiskal mempunyai lebihan dan tidak menggunakan pinjaman untuk membiayai perbelanjaan operasi.

“Hampir semua langkah ini adalah secara one-off supaya tidak membebankan kewangan
Kerajaan Persekutuan dalam jangka masa sederhana.

“Langkah ini penting untuk memastikan kedudukan fiskal dan hutang negara sentiasa mampan. Sehubungan itu, Kerajaan perlu kembali melaksanakan langkah konsolidasi fiskal dalam jangka
masa sederhana bagi mewujudkan ruang fiskal untuk jangka masa panjang,” jelas beliau.

Katanya, sepertimana yang telah diumumkan semalam, untuk menzahirkan keprihatinan dan kepedulian pimpinan kerajaan terhadap keperitan rakyat pada masa ini, beliau dan rakan-rakan dalam Jemaah Menteri dan Timbalan Menteri bersetuju agar dua bulan gaji dipotong dan disalurkan ke dalam
Tabung COVID-19.

“Tabung ini akan digunakan untuk membantu saudara-saudari yang terjejas dengan penularan wabak COVID-19.

“Selain itu, saya juga telah mengarahkan semua Kementerian mengkaji semula belanjawan masing-masing untuk mencari penjimatan agar ianya dapat digunakan untuk menampung langkah-langkah jangka sederhana bagi menangani wabak virus ini.

“Saya juga telah mengarahkan Kementerian Kewangan melalui Unit LAKSANA untuk memastikan pakej PRIHATIN bernilai RM250 billion ini sampai kepada saudara dan saudari semua  dengan cepat.

“Saya tahu saudara-saudari yang berada di rumah-rumah panjang di Sarawak, di penempatan orang asal, di kawasankawasan yang jauh di pedalaman di segenap ceruk rantau negara ini, mungkin bimbang bantuan yang disediakan oleh kerajaan lambat sampai.

“Untuk itu, Kerajaan Persekutuan akan bekerjasama dengan kerajaan negeri, khususnya di Sabah dan
Sarawak, untuk pastikan semua bantuan yang disediakan oleh kerajaan sampai dengan cepat. –SM

 

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button