fbpx
Nasional

Setelah apa yang Muhyiddin buat, mahukah kita tukar PM?

KOMENTAR

BANYAK reaksi positif bertebaran dalam media sosial dari semudah aplikasi WhatsApp, Facebook, Twitter, Instagram hingga portal-portal, blog serta online akhbar arus perdana terhadap pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini.

“Prihatin, insklusif, tindakan yang betul, adil, tepati sasaran, beri kepimpinan yang sangat diperlukan waktu ini…” itu antara komen-komen yang sempat dikutip Suara Merdeka.

Menerusi penyampaian perutusan khas COVID-19 untuk kali kelima dalam `bahasa rakyat’, ada ketikanya santai siap analoginya,

Muhyiddin dengan cepat menyentuh hati rakyat khususnya orang Melayu yang sudah lama tidak `terusik’ dengan bacaan doa pemimpin – pantas menonjol meskipun baru 27 hari mengendalikan peranan Perdana Menteri kelapan.

Pada masa sama, ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) dipimpin beliau masih `mentah’, umum tertanya-tanya bagaimana amaun yang agak besar, RM250 bilion boleh `tiba-tiba’ dikeluarkan ketika kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang `roboh’ bulan lepas pun berjalan tidak sampai dua tahun?


Bukankah Menteri Kewangan dahulu dari DAP, Lim Guan Eng begitu menguar-uarkan pentadbiran kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu hanya meninggalkan ‘sisa wang’ bernilai RM450 juta?

“Tidak kedekut…beliau berani mengambil risiko demi kepentingan rakyat,” kata pemerhati, merujuk peruntukan lebih RM200 bilion untuk pakej rangsangan terbaharu Muhyiddin itu.

Banyak `flip flop’ dari kerajaan PH terdahulu yang perlu diperbetulkan oleh Muhyiddin. Ia termasuklah apabila Perdana Menteri Interim, Tun Dr Mahathir Mohamad mengakui negara mempunyai simpanan mencukupi untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi bernilai RM20 bilion yang dilancarkan beliau 27 Februari lepas.

Kata Dr Mahathir, Malaysia mempunyai simpanan kira-kira RM2 trilion hingga RM3 trilion dalam Bank Negara Malaysia, Tabung Haji, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Kesemua entiti ini mempunyai rizab yang besar. Di KWSP sahaja kita ada simpanan hampir RM1 trilion tetapi kita ada simpanan di tempat-tempat lain juga yang boleh digunakan bila diperlukan,” katanya.

BACA:

Jadi, mana logiknya bila mana Guan Eng yang memulakan tugas menteri kewangan yang baharu pada Mei 2018
menyatakan “sekiranya di bawah kerajaan lama (BN) ia akan bankrap (dengan mendakwa hutang kerajaan (BN) mencecah RM1 trilion) tetapi di bawah kerajaan sekarang (PH), kita akan selamatkan negara”.

Muhyiddin harus diberikan ruang untuk membawa negara keluar dari situasi regresif semasa yang telah menjejaskan rakyat secara menyeluruh.

Dengan wabak COVID-19 yang hari ini sudah meragut 26 nyawa serta mencederakan lebih 2,000 orang di negara ini, tugas berat Muhyiddin baru sahaja bermula.

Keutamaan harus diberikan kepada membina semula negara serta `menyembuhkan luka’.

Apatah lagi pakej rangsangan ekonomi yang diumumkan beliau hari ini benar-benar tampak berjela di mata rakyat.

Justeru, adakah kemungkinan usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin andai kata dibangkitkan dalam Sidang Dewan Rakyat 18 Mei depan berbaloi ?

Ya, setelah apa yang dibuat beliau untuk rakyat Malaysia hari ini? – SM

(Visited 4 times, 1 visits today)

Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button