Nasional

CITF kesan tempahan vaksin secara kelompok tanpa kebenaran individu

Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (CITF) mengambil maklum aduan sebilangan individu yang telah diberikan janji temu bagi vaksin AstraZeneca walaupun tidak pernah membuat tempahan ketika slot dibuka tempoh hari.

CITF dalam kenyataannya berkata, antara aduan yang telah diterima termasuklah janji temu yang telah diberikan sebelum ini di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bukan AstraZeneca telah digantikan dengan janji temu vaksin AstraZeneca.

“Hasil semakan dan siasatan awal mendapati bahawa beberapa slot vaksin AstraZeneca telah ditempah bagi pihak orang lain dalam jumlah yang ramai, tanpa terlebih dahulu mendapat persetujuan individu terbabit khususnya untuk menerima vaksin AstraZeneca. Pihak CITF mendapati tempahan dalam jumlah yang ramai ini telah dilakukan menerusi beberapa alamat IP yang sama,” katanya.

Sehubungan itu pihak CITF telah menghubungi salah satu pihak yang telah membuat tempahan slot dalam jumlah yang ramai iaitu pihak SELangkah.

Pihak SELangkah turut memaklumkan bahawa mereka telah membuat tempahan bagi slot AstraZeneca tanpa terlebih dahulu membuat semakan sama ada individu dalam pangkalan data ImuniSEL setuju untuk menerima vaksin AstraZeneca maka menggantikan janji temu yang telah diberi sebelum ini, sekiranya ada.

“Pihak SELangkah telah memberi jaminan untuk bekerjasama dengan CITF bagi menyelesaikan isu berbangkit ini dan memastikan bahawa individu yang terbabit akan mendapatkan balik janji temu yang sebelumnya.

“Kesulitan yang timbul ini akan diatasi sebaik mungkin dan CITF akan bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam memastikan lebih ramai individu menerima vaksin dan sasaran imuniti kelompok dapat dicapai,” tambah kenyataan itu.

(Visited 138 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button