AgamaNasional

Kalimah Allah, kerajaan sepatutnya teruskan rayuan-Muhyiddin

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin kesal dengan keputusan kerajaan yang tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya.

Muhyiddin yang juga bekas Perdana Menteri berkata, sepatutnya rayuan perlu diteruskan sehingga diputuskan menerusi undang-undang di mahkamah sehingga selesai.

“Saya kesal dengan keputusan kerajaan Pakatan Harapan-Barisan Nasional menarik balik rayuan dalam kes yang melibatkan sensitiviti umat Islam dan kepentingan awam ini.

“Sepatutnya, biarlah kes ini diputuskan menurut proses undang-undang di mahkamah sehingga selesai sebelum kerajaan membuat apa-apa keputusan dasar mengenainya,” katanya yang dimuat naik dalam akaun Facebook.

Beliau berkata, sekiranya keputusan mahkamah masih tidak berpihak kepada kerajaan selepas proses rayuan selesai maka wajarlah bagi pihak kerajaan meminda undang-undang berkenaan.

Katanya lagi, ini demi memastikan tujuan undang-undang tersebut dikuatkuasakan iaitu untuk menjamin keharmonian hubungan antara masyarakat berbilang agama dan memelihara ketenteraman awam di negara ini dapat dicapai.

“Perlu diingat bahawa Yang di-Pertuan Agong adalah ketua agama Islam bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya manakala Raja-Raja Melayu adalah Ketua Agama Islam bagi negeri masing-masing.

“Maka titah Raja-Raja Melayu dalam hal ini hendaklah dijunjung oleh kerajaan,” ujar beliau.

Kelmarin, Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, rayuan terhadap keputusan mahkamah bagi kes kalimah “Allah” tidak diteruskan.

Semalam, beliau berkata, ini kerana keputusan kes itu berdasarkan percanggahan di antara arahan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri 1986 dan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.

Saifuddin juga mengingatkan semua pihak bahawa keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ketika itu berkaitan rampasan bahan penerbitan, bukan dari sudut ketuhanan.

Jabatan Peguam Negara yang mewakili Kementerian Dalam Negeri memaklumkan keputusan itu kepada Mahkamah Rayuan pada 18 April lepas.

Kenyataan itu menjelaskan niat kerajaan untuk tidak meneruskan rayuan terhadap keputusan mahkamah mengenai hak seorang penganut Kristian dari Sarawak menggunakan kalimah “Allah” bagi tujuan pembelajaran agamanya.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 2021 memutuskan bahawa Jill Ireland boleh menggunakan kalimah “Allah” dalam pembelajaran agamanya.

Hakim ketika itu, Nor Bee Ariffin berkata, arahan KDN pada 5 Disember 1986 yang melarang penggunaan kalimah “Allah”, “Baitullah”, “Solat”, dan “Kaabah” sebagai tidak konsisten dengan keputusan dasar Jemaah Menteri tahun sama.

Susulan kepada tidak meneruskan rayuan, Saifuddin berkata, KDN akan mengkaji dan mengemas kini arahan “yang lebih menyeluruh” bagi menangani isu penggunaan kalimah-kalimah tersebut. – SM

BACA KDN tak berhak tarik rayuan kalimah Allah tanpa rujuk Majlis Raja-Raja

BACA KDN tarik balik rayuan kalimah Allah kerana arahan bercanggah

 

(Visited 57 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button